Wartawan Turki dibebaskan setelah Jawi berpuashati soal siasat

Wartawan Turki dibebaskan setelah Jawi berpuashati soal siasat

Wartawan dan penulis Turki, Mustafa Akyol, yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi, sudah dibebaskan tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Abdul Aziz Jusoh, berkata Mustafa dibebaskan pada jam 12 tengah hari selepas pihaknya selesai merakam percakapan dan menjalankan siasatan ke atasnya.

“Penahanan Mustafa dilakukan selepas dia gagal hadir memberi keterangan di ibu pejabat JAWI selepas kita hantar surat perintah hadir kepadanya, Ahad lalu.

“Ini bagi membolehkan kita jalankan siasatan berhubung aduan awam mengenai pembabitannya dalam majlis anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) bertajuk ‘Does Freedom of Conscience Open The Floodgate to Apostacy’, Ahad lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini lapor BH online.

Abdul Aziz Jusuh

Susulan itu, katanya, Jawi menyampaikan surat perintah hadir kepada Mustafa bagi membantu siasatan Jawi, semalam, namun dia gagal hadir.

“Oleh kerana itu, kita buat permohonan kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengeluarkan waran tangkap mengikut Seksyen 58(A) Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) bagi melengkapkan siasatan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

“Mustafa ditahan di KLIA semalam dengan bantuan pihak Jabatan Imigresen sebelum diserahkan kepada kita.

“Dia kemudian dibebaskan selepas kita berpuas hati dengan keterangan yang diberikan,” katanya.

Kata Abdul Aziz, soal siasat mendapati pihak penganjur tidak memaklumkan kepadanya keperluan untuk mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama bagi mana-mana orang yang ingin menyampaikan pengajaran Islam di negara ini.

“Oleh itu, kami menasihatkan penganjur supaya memastikan penceramah yang diundang dalam menyampaikan apa juga bentuk ceramah berkaitan agama Islam mempunyai tauliah mengajar seperti yang dikehendaki mengikut undang-undang di negara ini,” katanya.

Terdahulu. penahanan Mustafa dilakukan oleh Jabatan Imigresen dan diserahkan kepada pegawai kawalan perjalanan (TCO) KLIA pada jam 9.30 malam tadi.

Mustafa Akyol dipercayai ditahan di KLIA beberapa jam selepas Jawi menekan penganjur forum membatalkan acara di saat-saat akhir.

Badan Islamic Renaissance Front (IRF), yang menjadi tuan rumah kepada penulis asal Turki itu susulan pembatalan forum di Universiti Nottingham Kuala Lumpur, memberitahu mereka cuba menghubungi Akyol di lapangan terbang.

Pengarah IRF Datuk Dr Ahmad Farouk Musa bimbang Akyol ditahan pihak imigresen dan di bawa pergi.

Lawatan ini merupakan kunjungan ke-5 Akyol ke Malaysia. Penulis itu merupakan pengkritik Presiden Recep Tayyip Erdogan dan dikenali kerana lantang mengkritik penyokong Islamisme dan sekularisme di negara asalnya.

Hari ini FMT melaporkan Mustafa terkejut dengan gangguan yang dialaminya di tangan pihak berkuasa agama Malaysia, selepas Jawi bertindak  memaksa sebuah universiti swasta membatalkan sebuah forum yang bakal dihadirinya semalam.

“Saya tidak pernah mengaku mufti atau imam dengan autoriti agama.Saya hanya merujuk pandangan lebih liberal dalam tradisi Islam, daripada perspektif akademik.Saya hairan mengapa itu pun boleh menimbulkan rasa tidak selamat,”kata Akyol kepada FMT, setibanya di KLIA untuk menaiki penerbangan ke Rome, beberapa jam selepas Jawi memaksa sebuah forum bertemakan buku terbaharunya mengenai Nabi Isa dibatalkan.