Malaysia Dateline

Wasatiyah kerajaan hanya wayang apabila ekstremis dilindungi ‘kekebalan’

Raja Kamarul Bahrin Shah

Rakyat tidak boleh mengharapkan kerajaan BN untuk membendung gejala ekstremisme yang semakin menjadi-jadi menjelang pilihan raya kerana jelas individu-individu tertentu yang membangkitkan sentimen agama dan kaum mempunyai ‘kekebalan’ dan dilindungi.

Ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah berkata, begitu banyak kenyataan yang keterlaluan dan kontroversi dibuat individu tertentu namun kerajaan yang mengakui mengamalkan nilai ‘wasatiyah’ (kesederhanaan) mengambil sikap membisu di tengah-tengah ribut kontroversi isu keagamaan dan perkauman yang sedang berlaku.

“Di manakah kepimpinan negara yang sepatutnya membela nasib rakyat yang makin tertekan dan keliru?” soal beliau.

Beliau memberi contoh beberapa kenyataan yang dikeluarkan individu-individu terbabit yang sehingga kini tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa antaranya tuduhan kafir harbi terhadap DAP oleh Mufti Pahang dan isu dobi khas untuk muslim yang diulas kader Jakim, Dr Zamihan Md Zin sehingga mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Johor.

Menurutnya, kenyataan berunsur kontroversi dan menghasut ini telah lama berlaku dan dibuat pegawai tinggi kerajaan yang berpengaruh.

“Yang juga jelas di sini ada pihak yang merupakan ‘pesalah bersiri’ mengulangi kesalahan kerana pihak atasan kerajaan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya dari awal lagi,” ujarnya.

Katanya, kader Jakim Dr Zamihan sebagai contoh telah menuduh kumpulan tertentu boleh ‘diperangi’, menghina kebersihan orang bukan Islam dan memperkecilkan teguran Sultan Johor dalam isu dobi untuk pelanggan Islam sahaja.

Menurut beliau, jika tindakan wajar diambil di peringkat permulaan, Zamihan tidak akan bertindak keterlaluan dan mengulangi kenyataan-kenyataan yang berunsur provokatif.

“Persoalannya adakah kerajaan secara senyap-senyap merestui perbuatan ini semua? Datuk Jamil Khir Baharom, menteri yang bertanggung jawab terhadap hal ehwal agama ialah seorang bekas tentera… Tidak mungkin beliau terlepas pandang insiden-insiden kenyataan kontroversi ini semua tanpa teguran di buat,” ujarnya lagi.

Raja Bahrin menyifatkan individu-individu terbabit memiliki ‘lesen besar’ untuk menyerang dan meghina sesiapa yang mereka suka bagi pihak orang tertentu yang melindungi mereka.

Beliau kesal kerana tindakan terhadap Zamihan hanya diambil apabila Sultan Johor murka dengan komen yang dibuat kader Jakim itu.

“Itu pun kami tidak pasti bagaimana berkesan tindakan tersebut. Kalau kes tersebut tidak melibatkan Sultan, saya yakin Zamihan akan masih terus ‘kebal’. Mungkin juga selepas ini dia akan kembali kebal di lindungi pihak tertentu dalam kerajaan,” katanya.

Pengerusi AMANAH Terengganu itu juga yakin tindakan terhadap Zamihan akan dibuat segera jika penceramah itu daripada pihak pembangkang atau pendakwah bebas.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Selangor dan Majlis Raja-Raja yang mengeluarkan kenyataan agar budaya ekstrem dan melampau ini ditangani segera demi keharmonian masyarakat dan negara.

“Ini telah memalukan Jakim yang sepatutnya menjalankan tugas mereka tetapi nampaknya Jakim lebih berminat menjadi alat kepada agenda politik kerajaan pusat.

“Kita sangat bertuah kerana Raja-Raja Melayu kita telah bersuara untuk membela hak rakyat kebelakangan ini,” ujarnya.