Malaysia Dateline

Waspada calon musuh pengundi, ‘Yang Berkhidmat’ harus jadi hamba rakyat

Kalangan penulis dan penganalisis politik tempatan mengharapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuka mata rakyat bagi memilih calon yang benar-benar mewakili suara hati mereka.

Calon-calon itu bukan harus dikenali sebagai ‘Yang Berhormat’ tetapi ‘Yang Berkhidmat’ mengingatkan filem ‘Aku Yang Berhormat’ antaranya lakonan Dharma Harun, Hamid Gurkha, R, Jaafar dan Jamali Shadat.

Cerita mengisahkan bagaimana Hamid dan Jaafar, yang bekerja sebagai petani dan juga anggota sukarelawan RELA, bersama-sama berusaha mendapatkan sokongan orang kampung untuk menjatuhkan Jamali, wakil rakyat yang kejam dan tidak mengamalkan sikap ‘Bersih, Cekap dan Amanah’, – motto kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – dengan mencalon dan menaikkan Hamid sebagai wakil rakyat baharu untuk mengantikan Jamali.

Oleh itu, calon pilihan rakyat bukan yang hanya indah dan sempurna pada imej, dengan sekadar pandai berpidato dan banyak menabur janji manis atau menjadikan politikus sebagai karier atau kerjaya mengumpul kekayaan keluarga dan rakan taulan sebaliknya mereka ini harus menjadi hamba kepada rakyat.

Sejauh manakah PRN Johor memperlihatkan rakyat sudah cukup matang meneliti calon-calon ‘Yang Berkhidmat’ mereka dengan mata yang tajam sebagai sosok ideal pemimpin yang berupaya berkorban untuk bangsa, agama dan negara?

Rakyat tidak seharusnya dimomokkan dengan calon-calon sesebuah parti khusus parti pemerintah sebagai yang “mutlak” harus dimenangkan, sementara lawan politik sebagai “musuh” yang harus dihancurkan.

Tidak kira kawan atau lawan, pemilihan calon oleh rakyat harusnya bagi kepentingan pengundi bukan parti. Musuh harus difahami sebagai bukannya musuh parti pemerintah tetapi musuh rakyat!

Musuh maksudnya di sini ialah mereka yang indah khabar dari rupa, banyak tabur janji, rasuah dan tidak beretika dan jauh sekali memberikan komitmen kepada rakyat. Mereka tidak jujur dan ikhlas mewakili rakyat yang mengundi mereka.

Pengundi harus meneliti latar belakang calon, apa yang mereka telah lakukan selama kini semasa memegang jawatan dalam parti. Sejauh manakah komitmen dan korban untuk rakyat, tiada masalah disiplin, skandal dan pembabitan dalam rasuah. Ia tidak semestinya hanya disinari gemerlapan sinaran sinetron sedangkan di sebaliknya dipenuhi ketidakjujuran.

Oleh itu, dalam meraikan pesta demokrasi sebagai perayaan dalam pemililihan rakyat ini, pengundi diharapkan secara cerdas membaca “aura sejati” para calon bukannya “aura palsu” melalui kempen di media sosial dan media elektronik lainnya.

“Aura demokrasi” pada abad digital hendaknya dapat dibaca dalam lingkungan rasional-budaya dan rakyat harus cerdas serta peka dalam memahami “gestur politik” para calon yang melangkaui sempadan parti sehingga tidak terperosok ke dalam lubang yang sama: memilih pemimpin yang indah secara imaginasi dan tidak pada hakikatnya.

Demokrasi hanya berfungsi apabila pengagihan kekuasaan yang direbutkan antara elit politik melibatkan parti-parti yang harus diseimbangkan tandingan dari rakyat pemilihan tersebut. Dalam hubungan ini, parti jangan beranggapan rakyat sebagai bodoh, campaklah calon apa pun, rakyat yang bertokong kepada parti akan mengundi sahaja.

Ini bukannya demokrasi sebenar, ini adalah demokrasi topengan, bersembunyi di sebalik pelitup. Dalam menyingkirkan sisi demokrasi gelap yang selama ini menaungi negara rakyat harus diberdayakan dengan kefahaman demokrasi sebagai kekuasaan dari rakyat dan bukannya parti!

Parti adalah saluran, wahana pengumpulan calon ke dalam sesuatu organisasi dengan falsafah dan idealisme perjuangan yang sama.

Demokrasi dan calonnya tidak seharusnya terbatas kepada pengesahan SPR dengan tarikh penamaan calon dan pilihah raya dan kekuasaan tetapi kepercayaan pengundi terhadap yang diyakini dan dipercayai dapat mewakili mereka.

Pierre Rosanvallon dalam Counter-Democracy: Politics in an Age of Distrust (2008), menyebut kekuatan rakyat ini sebagai demokrasi tandingan (counter democracy). Kekuatan ini tidak dibangun melalui institusi parti, tetapi di dalam kekuatan kelompok-kelompok masyarakat itu sendiri.

Ini dapat dicapai dengan menyemarakkan fungsi pemantauan dan pengawasan (check and balance) pengundi atas pemerintah dan calon parti iaitu secara terus-menerus, mengawasi, memantau dan menyelidiki setiap gerak-geri pemerintah dan calon yang bakal mewakili mereka nanti.