Malaysia Dateline

Waspada fenomena air pasang besar di Terengganu pada 2 dan 4 Januari depan

Terengganu dijangka akan mengalami satu lagi fenomena air pasang besar bermula 2 hingga 4 Jan depan, kata Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel Che Adam.

Beliau berkata fenomena itu berisiko menyebabkan hakisan di kawasan pantai dan banjir di kawasan rendah sekiranya berlaku hujan lebat pada masa yang sama.

“Jangkaan air pasang besar setinggi 2.962 meter hingga 3.032 meter akan berlaku pada pukul 9.40 malam 2 Jan, pukul 10.24 malam pada 3 Jan dan 11.10 malam pada 4 Jan.

“Sehubungan itu, anggota penguat kuasa akan diletakkan di beberapa kawasan pesisir pantai untuk memantau keadaan serta memastikan tiada pengunjung bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ketika ini, kerja penambakan giat dijalankan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat di beberapa kawasan pantai di Terengganu terutama pantai Tok Jembal dekat Kuala Nerus yang terjejas teruk akibat hakisan baru-baru ini.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu turut menasihatkan orang ramai terutama pelancong agar tidak bermandi-manda di kawasan pantai negeri itu ketika ini.

“Walaupun cuaca agak baik dan cuma sesekali hujan di pesisiran pantai, ia bukanlah petanda bahawa kawasan itu selamat untuk tujuan rekreasi atau mandi manda kerana ombak masih tinggi dan laut yang bergelora sangat berbahaya untuk mereka.

“Kami juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengunjungi kawasan perkelahan di hutan lipur kerana bimbang fenomena ‘kepala air’ sekiranya hujan lebat berlaku di kawasan pedalaman Terengganu.” ujarnya.