Waspada tindakan SPR ketika hari mengundi

Kami menyeru kepada semua Penyokong dan Petugas PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH) khasnya dan Parti-Parti dalam gabungan PAKATAN HARAPAN (PH) amnya untuk berwaspada terhadap tindakan SPR di saat-saat akhir menjelang Hari Pengundian esok.

SPR telah memberikan kelebihan kepada BN di dalam PRU14 ini menerusi Persempadanan Semula, menetapkan tarikh pengundian pada hari Rabu dan melarang penggunaan gambar Tun Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibhrahim sebagai bahan kempen.

Sehingga kini, Kami telah mendapat aduan seperti berikut :-

1. Terdapat Pengundi Pos yang mengadu bahawa, sehingga ke saat ini, masih BELUM MENERIMA kertas undi PRU14 walaupun sebelum ini pernah mengundi pos semasa PRU13;

2. Proses Pengundian Awal pada 5 Mei 2018 baru-baru ini, wujudnya situasi di mana Ketua Tempat Mengundi (KTM), hanya menyediakan tiga (3) kerusi dan tiga (3) meja untuk Ejen Tempat Mengundi (ETM) sedangkan di dalam peraturan setiap Calon diwakili oleh seorang ETM yang berlainan iaitu setiap seorang bagi Parlimen dan Dun;

3. Malah bukan itu sahaja, di Pusat Daerah Mengundi Kajang Utama di dalam Parlimen P.102 Bangi (DUN N.26 Sungai Ramal), semasa pertukaran syif, ETM pengganti hanya dibenarkan masuk setelah ETM bertugas keluar ke pintu pagar utama Kem/Balai yang sekaligus menyebabkan kekosongan/ketiadaan (tanpa petugas ETM Calon PH di Bilik/Saluran Mengundi) semasa pertukaran syif tersebut.

Oleh itu, Kami ingin mengingatkan kepada semua Penyokong dan Petugas Pakatan Harapan, agar berhati-hati serta memberikan fokus yang lebih terhadap tindakan mana-mana Urusetia SPR di dalam PRU14 ini.

Semua kita sedia maklum bahawa sokongan rakyat dan Pengundi terhadap PH semakin meningkat menjelang hari mengundi pada 9 Mei 2018 esok.

PALING PENTING : Penyokong dan Petugas PH hendaklah menjaga “Bukit Uhud” masing-masing dengan sebaik-baiknya dan jangan sesekali meninggalkan “Bukit Uhud” anda melainkan sudah ada Pengumuman Rasmi dibuat oleh SPR (yakni setelah Borang 14 Penyata Undi Rasmi ditandatangani).

Sebagai panduan, di sini Kami ingin senaraikan di antara TIPU DAYA atau TINDAKAN JAHAT yang mungkin berlaku semasa Hari Pengundian esok :-

1. Petugas ETM tidak dibenarkan masuk ke Bilik Saluran Pengundian, dan hanya dibenarkan masuk setelah beberapa ketika selepas itu;

2. Kertas Undi tidak ditindik atau dicap dengan cop rasmi atau ditandatangani secara ringkas atas kertas undi tersebut;

3. Berlaku penyamaran pengundi yang membawa kad pengenalan orang lain (terutamanya Pengundi yang dikenalpasti telah meninggal dunia tetapi namanya masih di dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya);

4. Berlaku ‘Pembelian Undi’ oleh pihak-pihak tertentu;

5. KTM gagal/enggan/tidak mahu/berdegil untuk memberikan salinan Borang 14 (Penyata Undi Rasmi ) kepada Calon atau Ejen Pilihan Raya (Wakil Calon) atau Ejen Tempat Mengundi atau Ejen Mengira Undi;

6. KTM gagal untuk mengisi Borang 14 dengan sempurna atau melakukan kesilapan semasa mengisi Borang 14;

7. Penerimaan undi ragu yang tidak sepatutnya;

8. Tidak membenarkan pengiraan semula meskipun undang-undang membenarkannya; dan/atau

9. Sewaktu proses penjumlahan undi, berlaku penjumlahan yang tidak sepatutnya berpihak atau memihak kepada BN. Oleh itu, Ejen Pilihan Raya (Wakil Calon) perlu berada di Pusat Penjumlahan Undi sepanjang tempoh penjumlahan sehinggalah pengumuman rasmi dibuat untuk memastikan SPR tidak tersilap mengumumkan calon BN yang kalah sebagai pemenang (sebagaimana kes sebelum ini).

Oleh itu, Kami menasihatkan kesemua Penyokong dan Petugas Pakatan Harapan untuk meningkatkan kewaspadaan masing-masing. Sekiranya berlaku apa-apa perlanggaran undang-undang oleh KTM atau mana-mana Urusetia SPR, sila ambil Nama Pegawai berkenaan dan buat Laporan Polis segera dan serahkan salinan repot kepada Peguam PH atau Bilik Operasi Pilihan Raya Parti.

Akhir kata, #KitaMestiMenang dan bersama membina semula negara ini. Insha Allah, berkat USAHA DAN DOA semua pihak, PRU14 ini, BN akan tumbang buat kali kali pertama di dalam sejarah politik tanahair. Inilah masanya!

 

*Penulis adalah Timbalan Setiausaha Agung AMANAH,