Watak Nik Abduh sebagai penyelamat seperti Umno

Watak Nik Abduh sebagai penyelamat seperti Umno

 

Pemuda AMANAH Melaka menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz semalam sebagai gambaran watak yang sama modus operandinya dengan Umno.

Ketuanya, Muhammad Syafiq Azmi berpendapat kenyataan ‘masuk air’ yang sengaja daripada Ahli Parlimen Pasir Mas itu mungkin untuk menutup kelemahan kejutan terhadap penganjuran himpunan Fastaqim 2.0 yang tidak menjadi.

“Kenapa saya anggap dia sengaja? Sebab pernahkah kita membaca kenyataan beliau yang rasional sebelum ini.

“Watak-watak seperti ini saya kira sengaja diwujudkan, modus operandinya sama seperti Umno, bila Najib atau BN tergelincir maka bunyilah suara penyelamat seperti Ahmad Maslan,” bidasnya dalam kenyataan beliau hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan beberapa tahun lalu kerap dicemuh majoriti rakyat ekoran kenyataanya yang dianggap bodoh terutama menjelang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.

Sementara itu, Nik Abduh dalam tulisannya bertajuk, ‘PAN Yang Malang’ menggunakan pelbagai perlambangan antaranya “van mayat DAP” dan “anak butir taik Tun Mahathir.”

Panggilan PAN dalam reaksi Nik Abduh itu merujuk kepada AMANAH yang lazim digunakan secara konsisten oleh pemimpin dan penyokong Pas.

Mengulas lanjut, Syafiq berkata, tidak pelik apabila Nik Abduh bertindak mengeluarkan kenyataan tersebut lantaran dilihat sekadar mengalihkan isu berhubung surat Datuk Mustafa Ali yang merupakan Penasihat kepada Presiden Pas.

Surat kontroversi daripada bekas Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga dikenali sebagai Cikgu Pa itu dikatakan mengenai bantahan kerjasama Pas dengan Umno.

“Mengalihkan isu surat Cikgu Pa mungkin juga antara sebab mengapa Nik Abduh menadah diri untuk dilihat bertindak tanpa kewarasan.

“Samalah ketika isu hangat melanda kem BN, cuma ketika itu mangsanya bukan manusia, tetapi durian,” bidas Syafiq lagi.

Pada 26 September lalu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa memberitahu surat Mustafa itu telah dibincangkan dalam satu mesyuarat permukiman (retreat) Pas Pusat di Pulau Pangkor, Perak.

“Dalam retreat ini, Ustaz Hadi tak dan (sempat) retreat. Dia masuk sehari, dia balik. Saya jangkakan surat ini akan terdedah juga kepada ahli Pas.

“Kalau surat (Mustafa) ini terdedah kepada ahli Pas, saya rasa dia (Hadi Awang) terpaksa tidak bekerjasama dengan Umno walaupun pimpinan tertinggi Pas mahu bekerjasama dengan Umno.

“Pas di peringkat bawahan khususnya di Kelantan ini tidak setuju kerjasama dengan Umno atas dasar 60 peratus orang Pas tidak akan mengundi Pas.

“Ini Ustaz Mat Yakob (Menteri Besar Kelantan) sendiri sebut,” kata Husam dalam program Tanweer AMANAH Kelantan di Pasir Mas.

Walau bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Azman Ibrahim sehari selepas itu menafikan dakwaan Husam dan melabel bekas Naib Presiden Pas berkenaan sebagai “pembohong bersiri”.

“Dengan nama Allah saya bersumpah bahawa tak ada satu patah perbincangan pun sepanjang retreat ini yang membincangkan hal kerjasama dengan Umno.

“Husam Musa adalah pembohong bersiri yang penuh dendam kesumat terhadap Pas dan dia akan terus memburukkan Pas,” kata Azman dalam kenyataannya, 27 September lalu.

6.5
OVERALL SCORE
: 7.0
3 user votes x 6.3
CATEGORIES