Watie buat pengakuan ‘berani mati’, 6 kali bedah hidung di Thailand kerana masalah ini

Oleh WAN SITI AMINAH

“Untuk pengetahuan semua, hidung ini adalah palsu”, itulah pengakuan ‘berani mati’ yang dibuat oleh isteri kepada pelawak, Shuib iaitu Watie Hanifiah.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Watie sendiri malah wanita terbabit turut mengakui telah melakukan sebanyak enam kali pembedahan kosmetik ke atas hidung miliknya.

Jelas pemilik nama sebenar Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah itu, prosedur tersebut dilakukannya selepas mengalami tekanan melampau akibat sering dibuli sejak kecil.

Masalah sinusitis yang teruk turut mendorong wanita berusia 36 tahun terbabit untuk melakukan pembedahan berkenaan dengan harapan hidungnya tidak lagi tersumbat.

“Hidung yang sekarang ini adalah yang keenam. Antara salah satu sebab saya jalani pembedahan adalah kerana sinus teruk. Hidung memang selalu mengalami masalah tersumbat.

“Sejak lahir pula memang tiada batang hidung. Dulu memang penyet betullah. Adik selalu cakap macam bentuk buntut. Pergi sekolah kena ejek hidung macam bawang,” dedahnya dalam satu sesi audio siar atau ‘podcast’.

Sesi Dol’s Podcast yang dikendalikan oleh suaminya, Shuib bersama pelawak, Shuk Sahar dan penyampai radio iaitu Fizie Roslan itu turut dimuat naik di laman YouTube.

Menurut Watie, kata-kata tomahan dan ejekan daripada pelajar sekolahnya itu telah membuatkan dirinya nekad mengumpul wang untuk menjalani pembedahan hidung.

“Jadi di sekolah dahulu, adalah zaman di mana diri selalu diejek dengan gelaran ‘Fati Bawang’ sebab hidung penyek. Balik sekolah, memang selalu menangis sebab dibuli. Masuk sekolah menengah pula saya kena lagi teruk. 

“Sampai satu tahap saya simpan azam nak bekerja selepas habis sekolah nanti. Nak kumpul duit. Sebaik sahaja cukup, saya memang nak lakukan (pembedahan) hidung. Kebetulan pula memang ada resdung. 

“Kalau siapa yang mengenali Fati Bawang memang tahulah yang hidungnya sentiasa tersumbat. Sampai pernah rasa kepala nak pecah dan gigi pula nak tercabut kalau penerbangan lebih dari tiga jam,” ulasnya.

Dalam temu bual tersebut, Shuib tampil untuk memuji kecantikan isterinya supaya wanita terbabit tidak lagi melakukan sebarang pembedahan kosmetik ke atas dirinya.

Sementara itu, Watie turut bermurah hati berkongsi kesemua pembedahan hidungnya yang dilakukan di Thailand dengan anggaran belanja berjumlah kira-kira RM30,000.

“Dahulu, saya tidak tahu makna kemurungan. Saya sedar apabila melihat diri sendiri yang tak nak keluar bilik sebab kena ejek. Rasa tertekan. Selepas saya kongsi foto di media sosial, orang komen fasal hidung hingga ada panggil macam babi.” Ujarnya.

Baca juga: Perli PM pendek, wartawan di Itali kena denda lebih RM25k