Isteri kepada pelawak dan ahli perniagaan, Shuib iaitu Watie mendedahkan bahawa semua kos perbelanjaan ketika mengerjakan umrah bersama keluarga pada awal November lalu adalah ditanggung olehnya.
Menurut Watie, pendedahan itu terpaksa dibuat untuk menepis fitnah yang mengaitkan perbelanjaan umrah dan gaya hidup mewahnya dengan syarikat Shuib iaitu Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee).
Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berharap penjelasan yang dibuat menerusi satu hantaran di platform Instagram itu dapat menghentikan penyebaran fitnah.
“Bismillahirrahmanirrahim. Mummy (Watie) terpanggil hari ini untuk buat penjelasan sebab nampaknya semakin ramai yang sudah terbuat fitnah tanpa sedar. Kaitkan soal umrah dengan isu syarikat suami.
“Soal bersedekah dan pahala ini memang seeloknya dibuat dalam diam. Tetapi nampaknya apabila didiamkan, makin banyak yang sudah tersalah anggap.
“Alhamdulillah berkat menjaga anak-anak yatim, rezeki yang Allah kurnia kepada Mummy dapat dikongsi dengan suami dan anak-anak. Rasanya ramai sahaja isteri yang sanggup berhabis untuk kebahagiaan rumahtangga,” katanya.
Dalam hantaran sama, Watie turut memuat naik rakaman memaparkan pemilik akaun TikTok yang mengulas gaya hidup Watie dan bagaimana keluarga Shuib boleh menunaikan umrah dengan pakej mewah sedangkan syarikatnya sedang mengalami masalah.
Watie juga mengakui isu itu sedikit sebanyak menganggu kesihatan mentalnya selain meminta agar gaya hidupnya tidak dibandingkan dengan kehidupan suaminya ketika bersama Allahyarham Siti Sarah.
“Dengan isu yang menimpa suami, Mummy harap tiada yang kaitkan soal gaya hidup Mummy dan bandingkan dengan kehidupan ketika bersama arwah. Tak dinafikan sedikit sebanyak, ianya mengganggu kesihatan mental Mummy.
“Mummy juga ada hati dan perasaan, ada anak-anak yang perlu diberi perhatian. Yang mana komen dan risau itu Insya-Allah, harta arwah elok tersimpan rapi untuk anak-anaknya. Mummy tak sentuh. Harap kita sama-sama menjaga kata-kata.” Jelasnya.
Terdahulu, nama Shuib menjadi topik perbualan hangat selepas didenda RM17,500 bersama pengarah bersama Bubblebee, Koh Choon Guan atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.
Ahli perniagaan berusia 40 tahun itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis lalu di atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu.
Baca juga: Sanggup belanja hampir RM30k, rupanya ‘Baby’ dah menang lebih 100 pertandingan