Watikah kurniaan palsu, Kerajaan Kedah tidak iktiraf ‘Warisan Kerabat DiRaja Kedah’

Watikah kurniaan palsu, Kerajaan Kedah tidak iktiraf ‘Warisan Kerabat DiRaja Kedah’

Beberapa kad Watikah Kerabat DiRaja Kedah Darul Aman palsu yang telah berjaya dikesan.

Kerajaan negeri Kedah tidak pernah mengetahui maupun mengiktiraf watikah kurniaan palsu ‘Warisan Kerabat DiRaja Kedah (Warisan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah III) yang mengeluarkan watikah kurniaan tersebut.

Ekoran itu kerajaan negeri membuat laporan polis terhadap tindakan pihak tertentu yang menggunakan gelaran ‘Ahli Kehormat DiRaja’ kepada beberapa individu yang menggunakan tandatangan palsu Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Paduka Ammar Dato Shaikh Mahmood Naim, pihaknya menerima aduan awam mengenai perkara tersebut.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengetahui atau mengiktiraf kurniaan palsu ‘Warisan Kerabat DiRaja Kedah’ tersebut.

“Tandatangan Sultan Kedah yang terdapat dalam watikah tersebut, bukanlah tandatangan sebenar baginda Sultan.

“Logo peribadi serta cop mohor baginda yang turut digunakan dalam watikah tersebut juga bukanlah yang sebenarnya,” ujar beliau.

Sehubungan itu katanya satu laporan polis telah pun dibuat mengenai perkara tersebut.