Watson Nyambek tidak terima permohonan maaf Primework, Azizul Ammar

Watson Nyambek tidak terima permohonan maaf Primework, Azizul Ammar

Bekas atlet pecut negara, Watson Nyambek menegaskan tidak akan menerima permohonan maaf daripada Primework Studios dan pengacara sebuah rancangan komedi televisyen tempatan, Azizul Ammar Abu Hassan.

Watson berkata, meskipun permohonan maaf sudah dibuat di hadapannya, beliau masih tidak dapat menerima tindakan Azizul Ammar mempersendakan bapanya menerusi rancangan komedi yang tersiar beberapa hari lalu.

“Walaupun mereka minta maaf tetapi saya susah nak terima oleh kerana kita tengok macam mana (nama) bapa saya dipandang.

“Cuba tuan-tuan fikir, apa perasaan saya, kita boleh fikir. Jadi satu masa nanti (mungkin) saya terbuka (dan) saya menerima jadi sekarang saya belum menerima maaf tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Azizul Ammar dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar di Hotel Grand Palace semalam.

Difahamkan, rombongan Primework diketuai oleh Ahmad Izham termasuk Azizul Ammar telah ke Sarawak bagi meminta maaf dengan Watson dan keluarganya.

Jelas Watson lagi, beliau dan keluarga memandang serius terhadap apa yang berlaku dan beliau telah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, Sarawak pagi tadi.

“Pagi tadi, saya buat laporan polis kerana ini bukan (perkara) main-main. Saya akan teruskan perjuangan mencari keadilan,” tegasnya lagi.

Dalam sidang media yang diadakan itu, Azizul turut menyatakan permohonan maaf atas ‘ketelanjurannya’ mempermainkan nama mendiang ayah Watson.

“Ia menjadi pengajaran dalam kehidupan saya dan saya menyesalinya. Saya dengan serendah-rendah diri dan hati memohon maaf kepada abang Watson, isteri dan keluarga,” katanya dengan sebak seperti dipetik Sinarharian.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Korporat Primeworks Azlan Abdul Aziz berkata, Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) mengumumkan tindakan menggantung tanpa tempoh perkhidmatan Azizul dan krew produksi rancangan Sukan Tak Sentral ekoran insiden mempersendakan nama ayah dan keluarga Watson menerusi rancangan tersebut.

Azlan dalam kenyataan sama turut mengesahkan sepanjang tempoh penggantungan ini, Azizul Ammar juga tidak akan dipanggil untuk mana-mana rancangan terbitan Primeworks Studios.

“Sebagai syarikat penerbit rancangan tersebut, Primeworks Studios tidak akan lari dari tanggungjawab dan kami komited untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang terbaik bagi Watson dan keluarganya,” katanya.

TAGS