Wawa Zainal sanggup labur hampir RM500k demi tambat hati stokis, ejen untuk jana keuntungan

Oleh MAISARAH AISYA

Setiap usahawan pasti mahukan produknya laris terjual namun usaha diri sendiri sahaja tidak mencukupi jika tidak dibantu oleh stokis dan ejen jualan.

Dek kerana itu, pelakon dan usahawan Wawa Zainal sanggup memperuntukkan hampir RM500,000 sebagai imbuhan kepada stokis dan ejen.

Ini adalah selepas mereka membantunya menjana keuntungan Wawa Cosmetics bagi 2023 sehingga mencecah angka RM32 juta lapor Kosmo! Online.

Penghargaan tersebut adalah dalam bentuk wang tunai kepada ejen dan stokis yang mempunyai nilai jualan tertinggi sepanjang tahun lalu.

Selain itu, pihak Wawa Cosmetics turut membawa rombongan seramai 33 orang mengerjakan umrah.

“Pekerja, stokis dan ejen adalah nadi Wawa Cosmetics sejak ditubuhkan enam tahun lalu sehingga kini mampu berdiri gah.

“Selain menghargai mereka dengan mengadakan majlis pengiktiran dan beri ganjaran wang, saban tahun kami juga menganjurkan percutian ke luar negara termasuk ke Eropah.

“Malam ini (semalam) kami peruntukan lebih RM100,000 wang tunai buat 10 stokis dan ejen terbaik.

Bahkan tahun ini buat pertama kali kami juga membawa rombongan Wawa Cosmetics ke Tanah Suci membabitkan lebih 30 jemaah ,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Tambahnya pihak syarikat turut menyasarkan perolehan sebanyak RM50 juta pada tahun 2024.

“Tidak mustahil kami mampu mencapai sasaran melihatkan keuntungan tahun ini yang juga bertambah sekali ganda pada tahun sebelumnya iaitu RM18 juta untuk 2022.

“Bersama sokongan pengguna selain semangat ditunjukkan semua stokis, ejen serta seluruh jentera syarikat kami, misi itu bukan mustahil,” ujarnya.

Baca juga: Biar betul gaji penyampai radio cecah RM150K sebulan? Fauziah Nawi dedah gaji DJ radio swasta