WAWANCARA: Apa makna sebenar retifikasi ICERD

WAWANCARA: Apa makna sebenar retifikasi ICERD
UMNO dan PAS kini nampaknya lebih menumpukan kepada isu-isu berkaitan Melayu dan Islam sahaja dan mengambarkan bahawa ICERD ini akan menjejaskan kedua-dua perkara ini.

Interview berkaitan ICERD dengan pakar undang-undang Perlembagaan yang juga peguambela dan peguamcara, DR ZULQARNAIN LUKMAN. Beliau juga adalah salah seorang Ketua Teras yang terlibat menggubal Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) 2018

Bolehkah Dr jelaskan apakah itu ICERD?

ICERD adalah singkatan daripada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau dalam Bahasa Melayunya, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum. ICERD adalah salah satu konvensyen yang telah diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 December 1965, dan dikuatkuasakan pada 4 January 1969.

Tujuan ICERD ini dibuat adalah untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum dan mempromosikan toleransi antara semua bangsa dan kaum. Konvensyen ini juga memerlukan setiap pihak yang menjadi pihak kepada konvensyen ini untuk menggubal undang-undang berkaitan kebencian antara kaum (hate speech) dan menjadikan ianya sebagai satu tindakan jenayah.

Setakat ini berapa buah negarakah yang telah menjadi pihak kepada Konvensyen ini?

Setakat ini kira-kira 179 negara di dunia ini telah menandatangan atau meratifikasi/accession kepada ICERD. Hanya kira-kira 14 negara sahaja yang masih tidak berbuat apa-apa terhadap ICERD ini iaitu antaranya, Sudan Selatan, Myanmar, Brunei, Malaysia, Samoa, Kiribati, Marshall Islands, Cook Islands, Micronesia, Tuvalu dan Vanuatu.

Adakah negara-negara Islam juga telah menandatangani atau meratifikasi ICERD?
Banyak negara Islam telah menandatangan atau meratifikasi/accession kepada ICERD seperti Afghanistan, Bahrain, Bangladesh, Qatar, Arab Saudi, Mesir, Iran, Iraq, Indonesia, Kazakhstan, Jordan, Kuwait, Oman, Pakistan, Turki dan Tunisia.

Kenapakah Malaysia tidak menandatangani ICERD?

Sebenarnya perkembangan undang-undang antarabangsa di Malaysia ini tidak begitu diberikan perhatian oleh kerajaan dahulu. Setakat ini Malaysia hanya meratifikasi 3 konvensyen antarabangsa iaitu CRC – Convention on the Rights of the Child (Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak) pada 17 Februari 1995.

CEDAW – Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita) pada 5 Julai 1995 dan CRPD – Convention on the Rights of Persons with Disabilities (Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya) pada 19 Julai 2010.

Ada 6 lagi konvensyen antarabangsa yang masih belum diratifikasi oleh Malaysia yang diberikan perhatian serius oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuklah ICERD, CAT – Convention against Torture and Other Cruel Inhuman or Degrading Treatment or Punishment, CCPR – International Covenant on Civil and Political Rights, CED – Convention for the Protection of All Persons From Enforced Dissapearance, CESCR – International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights dan CMW – International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of Their Families.

Saya tidak tahu kenapakah kerajaan dahulu tidak meratifikasikan konvensyen antarabangsa itu tetapi saya fikir kerajaan dahulu sebenarnya tidak meletakkan perkara itu sebagai prioriti untuk bertindak. Justeru, tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan pada waktu itu.

Saya boleh katakan bahawa kerajaan dahulu kurang mesra hak asasi kerana SUHAKAM pun ditubuhkan beberapa tahun setelah gesaan dibuat oleh masyarakat antarabangsa. Begitu juga dengan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) hanya baru dilancarkan pada tahun 2018 dan ketinggalan jauh dengan negara-negara lain termasuk negara ASEAN.

Apakah keperluan kerajaan PH sekarang untuk menandatangani kesemua konvensyen tersebut?

Datuk Saifuddin Abdullah selaku Menteri Luar Negeri telah menyatakan komitmen kerajaan untuk meratifikasi 6 konvensyen teras ini. Komitmen itu diberikan sebagai langkah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dikatakan sebagai “human rights-friendly nation” atau negara yang dikatakan sebagai mesra hak asasi. Langkah ini dibuat kerana Malaysia pada ketika ini telah dinilaikan sebagai negara yang mempunyai rekod hak asasi yang tidak memuaskan kerana terlalu dikawal oleh bidang kehakiman dan perlaksanaan undang-undang yang keterlaluan oleh pihak penguatkuasa undang-undang.

Malaysia juga dianggap sebagai sebuah negara yang tidak menghormati kebebasan asasi yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sekarang pelabur asing bukan setakat ingin berdagang dengan sesuatu negara tetapi mereka juga memberikan perhatian sama ada negara itu mempunyai prinsip-prinsip demokrasi yang teguh dan menghormati hak asasi.

Bagi mereka sesuatu negara yang bertamadun pastinya akan menjaga hak asasi bukan sahaja hak asasi warganegara yang tinggal di negara berkenaan malah juga hak asasi mereka yang berdagang dengan negara berkenaan. Malah pada ketika ini, sudah ada tema yang dbincangkan di peringkat antarabangsa mengenai “business and human rights”.

Menteri Luar Negeri juga menyatakan bahawa beliau menginginkan Malaysia memainkan peranan lebih aktif (active player) di peringkat antarabangsa dalam isu-isu berkaitan hak asasi manusia. Jika Malaysia tidak menjadi pihak kepada konvensyen antarabangsa ini maka bagaimanakah masyarakat antarabangsa memandang Malaysia jika Malaysia cuba bercakap isu hak asasi. Akhirnya, Malaysia hanya akan menjadi jaguh kampung sahaja.

Selain itu jika Malaysia meratifikasikan konvensyen antarabangsa, Malaysia mesti mematuhi membuat laporan kepada PBB dalam tempoh berkala kerana PBB akan memantau sejauh manakah Malaysia telah bertindak untuk mematuhi konvensyen yang telah ditandatangani atau diratifikasi itu.

Justeru, itulah sebab-sebabnya mengapa kerajaan PH memberikan perhatian kepada konvensyen antarabangsa ini.

Ada pihak yang menyatakan bahawa kedaulatan negara akan terjejas disebabkan kerajaan menandatangani konvensyen antarabangsa ini. Adakah benar begitu?

Pada saya pandangan sebegitu adalah terlalu ekstrem. Konvensyen antarabangsa bukanlah dianggap sebagai satu perjanjian antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Ada pihak yang membandingkan ratifikasi konvensyen antarabangsa ini dengan memberikan contoh Perjanjian Pangkor 1874 yang mana dalam Perjanjian Pangkor itu telah menyebabkan British campurtangan dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan Perak kecuali dalam hal agama dan adat istiadat Melayu.

Itu adalah satu perbandingan yang langsung tidak sama. British pada masa itu mempunyai kepentingan dalam lombong bijih. Pada masa itu sering berlaku pertelingkahan antara anak raja selepas kematian Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah dan Sultan Ismail berebut takhta. Pada masa itu juga berlaku pergaduhan berkaitan perebutan kawasan lombong bijih antara dua kumpulan kongsi gelap iaitu Ghee Hin dan Hai San. Maka, Raja Abdullah telah menandatangani Perjanjian Pangkor itu dengan harapan Inggeris akan dapat membantunya mengukuhkan kedudukan dalam negeri Perak.

Manakala, konvensyen antarabangsa adalah dibuat berasaskan norma sejagat yang dikongsi bersama oleh semua bangsa, agama, etnik dan negara. Falsafah itu adalah falsafah yang dikongsi bersama. Umpamanya, dalam isu ICERD ini falsafahnya adalah bahawa manusia dilahirkan bebas dan merdeka.

Tiada siapa boleh memilih untuk menjadi kulit putih atau kulit hitam. Tiada siapa juga yang boleh memilih untuk dilahirkan sebagai bangsa Aryan, Yahudi, Cina, India atau Melayu. Justeru, sepatutnya tiada orang didiskriminasikan berasaskan bangsa atau etnik mereka. Ini dinyatakan dengan jelas dalam ‘Preamble’ atau mukaddimah kepada ICERD iaitu “which is to promote and encourage universal respect for and observance of human rights and fundamental freedoms for all, without distinction as to race, sex, language or religion” (adalah untuk mempromosikan dan menggalakkan rasa hormat yang sejagat ke atas hak asasi manusia dan kebebasan asasi kepada semua, tanpa ada perbezaan terhadap bangsa, jantina, bahasa atau agama). Berdasarkan falsafah ini saya tidak fikir ada mana-mana pihak yang mempunyai bantahan terhadap falsafah sebegini.

Malah, Islam sendiri mengutuk perbuatan yang menghina orang lain atas dasar perkauman atau warna kulit. Seorang sahabat Rasulullah saw pernah dimarahi oleh baginda kerana sahabat tersebut telah memanggil Sayyidina Bilal sebagai “anak hitam”.

Hanya perkara yang membezakan antara pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju adalah hanya berkaitan mekanisme ICERD ini hendak dilaksanakan. Isu-isu yang dibawa adalah sama ada ICERD ini akan mencabar peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau adakah ICERD ini adalah satu bentuk penjajahan bentuk baru? Ini yang perlu dilihat oleh kerajaan jika mereka ingin meratifikasikan ICERD.

Ini sendirinya menjawab kepada soalan asal iaitu sama ada ICERD akan menjejaskan kedaulatan negara. Sebanyak 179 negara telah menjadi pihak kepada ICERD dan adakah kesemua 179 negara ini telah menggadaikan kedaulatan negara mereka? Saya tidak fikir begitu kerana ICERD ini adalah satu-satunya konvensyen yang paling kerap diratifikasikan oleh negara-negara dalam dunia ini.

Oleh itu, ICERD sendiri pun mempunyai mekanisme untuk mengatasi isu-isu seperti ini yang pastinya berbeza antara satu negara dan negara yang lain. Ada sesetengah negara yang telah membuat reservasi terhadap peruntukan dalam ICERD. Saya fikir inilah yang patut menjadi kajian oleh kerajaan dan bukannya menolak ICERD secara keseluruhannya.

Isu ICERD ini menjadi hangat apabila YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy telah menyatakan bahawa Malaysia akan meratifikasikan ICERD pada suku pertama tahun hadapan. Apakah kerajaan tidak mempunyai perancangan yang jelas berkaitan hal ini?

Sekarang ini apa-apa yang dibangkitkan oleh kerajaan yang ada sedikit sensitif kepada isu agama dan kaum akan menarik netizen untuk memberikan komen. Ini hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak kerana kerajaan baharu ini telah memberikan ruang kebebasan bersuara yang lebih besar berbanding dengan kerajaan dahulu.

Sebenarnya, isu ratifikasi ICERD ini bukanlah perkara baharu dan telah dikaji oleh JPNIN (Jabatan Perpaduan Nasional Dan Integrasi Nasional) semenjak zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi. Ini maklumat yang saya terima. JPNIN telah membuat kajian mengenai impak dan kesan jika ICERD ini ditandatangani dan diratifikasi.

Sewaktu kajian NHRAP (Pelan Kajian Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan) dibuat, kebetulan saya juga menjadi salah seorang ahli jawatankuasa yang mendrafkan NHRAP ini dan kita mendapati bahawa ICERD ini mampu dilaksanakan oleh kerajaan. NHRAP ini adalah satu kajian yang dibuat setelah berunding dengan semua stakeholders dan kementerian dan tanda aras yang digunakan adalah sama ada cadangan NHRAP ini mampu dilaksanakan. Kita mendapati ICERD ini antara konvensyen yang kita mampu laksanakan.

Jika kita melihat kepada NHRAP yang telah dilancarkan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri telah menyatakan di bawah Teras 5 Item 1.3 NHRAP yang mana kerajaan akan mengkaji kesesuaian dan mempertimbangkan untuk membuat kesertaan kepada ICERD.

Jadi saya fikir apa yang Senator P. Waytha Moorthy nyatakan itu adalah hanya meneruskan apa yang telah dipersetujui di bawah kerajaan terdahulu.

Tambahan lagi, SUHAKAM sebagai badan berkanun yang diberikan kuasa di bawah Aktanya sendiri juga bersetuju dengan ratifikasi ICERD ini.

Sejurus selepas kenyataan tersebut, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah mengatakan bahawa ratifikasi itu akan bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta akan menghapuskan MARA. Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan Tantawi pula menggesa orang ramai untuk membuat perhimpunan aman bagi membantah tindakan untuk meratifikasikan ICERD ini. Dan, selepas itu UMNO dan PAS telah sama-sama berganding bahu untuk mengadakan demonstrasi awam bagi membantah ICERD ini? Apakah pandangan Dr mengenai respon ini?

Saya fikir ini adalah kenyataan populis yang bersifat politik. Umno dan Pas kini nampaknya lebih menumpukan kepada isu-isu berkaitan Melayu dan Islam sahaja dan mengambarkan bahawa ICERD ini akan menjejaskan kedua-dua perkara ini.

Saya melihat kenyataan YB Menteri Agama, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof telah menyatakan bahawa apa pun keputusan yang dicapai berkaitan ICERD ini pada akhirnya kerajaan memberikan komitmen untuk memastikan peruntukan asal dalam Perlembagaan tidak terjejas khasnya yang berkaitan agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan Raja-Raja.

Bukankah ada juga pengamal perundangan termasuk bekas Ketua Hakim, Tun Abdul Hamid sendiri tidak bersetuju dengan ICERD ini?

Saya telah baca kenyataan asal Tun Abdul Hamid ini dan saya mempunyai pandangan yang khilaf dengan pandangannya. Malah, ada fakta yang tidak tepat dalam tulisannya itu. Contohnya beliau menyatakan bahawa antara 15 negara yang tidak mengesahkan ICERD adalah Israel. Fakta ini adalah silap kerana menurut laman web OHCHR setakat 29 Oktober 2018 menyatakan hanya 14 negara yang tidak menjadi pihak kepada ICERD ini. Israel pula telah menandatangani ICERD pada 7 Mac 1966 dan meratifikasi/accession pada 3 Januari 1979.

Selain itu, saya juga melihat terjemahan yang dibuat oleh Tun Abdul Hamid terhadap Article 4 ICERD agak kurang tepat.

Secara keseluruhannya saya melihat apa yang ditulis oleh Tun Abdul Hamid itu adalah bersifat andaian dan spekulasi dan tidak disokong dengan data-data.

Tetapi saya tidak kata bahawa kebimbangan itu harus diabaikan. Sewajarnya kerajaan mengambil pendekatan untuk buat ‘engagement’ dengan pihak-pihak yang menentang ini dan mencari solusi yang terbaik untuk memuaskan hati semua pihak. Saya faham bahawa ICERD ini adalah isu baharu dan masyarakat masih memerlukan masa untuk menghadamkan isu ini. Sebelum ini selama puluhan tahun orang awam tidak menghiraukan isu-isu berkaitan hak asasi manusia.

Apapun, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk menjadi pihak kepada ICERD sehingga hal-hal ini diselesaikan.

Apakah langkah ke hadapan yang perlu diambil oleh kerajaan dalam isu ICERD ini?

Saya cadangkan supaya Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menandatangani atau accede ICERD ini terlebih dahulu sebelum meratikasinya pada suatu masa yang sesuai pada masa hadapan. Ini boleh dilakukan di bawah Article 17 atau 18 ICERD. Tindakan seumpama ini telah dibuat oleh beberapa buah negara seperti Kemboja pula telah menandatangani ICERD pada 12 April 1966 dan meratifkasinya pada belasan tahun kemudian iaitu pada 28 November 1983. Turki menandatanganinya pada 13 Oktober 1972 dan meratifikasi pada 16 September 2002 manakala Amerika Syarikat menandatanganinya pada 28 September 1966 dan meratifikasinya pada 21 Oktober 1994. Ada juga negara seperti Bhutan yang telah menandatangani ICERD pada 26 Mac 1973 dan tidak meratifikasinya selama 44 tahun.

Dahulu sewaktu CEDAW ingin diratifikasikan juga pelbagai pandangan negatif dilontarkan khasnya ada yang mengatakan bahawa CEDAW akan memberikan impak kepada hukum hakam agama seperti hukum faraid. Tetapi setelah sekian lama hal tersebut tidak pun terjadi. Jadi saya fikir kekhuatiran kita terhadap ICERD ini adalah agak bersifat andaian.

Untuk maju ke hadapan dalam isu hak asasi, Malaysia perlu melakukan lonjakan dan dimensi baharu dan ini akan dapat dicapai sekiranya Malaysia menjadi sebahagian daripada pihak terhadap konvensyen-konvensyen antarabangsa ini.