Malaysia Dateline

WAWANCARA: DAP parti semua kaum, berjaya bela golongan B40

Parti Tindakan Demokratik (DAP) bakal menyambut ulang tahun yang ke-55 pada 18 Mac 2021 ini sebagai sebuah parti politik yang berprinsip, progresif dan berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang bersatu, adil, bebas dan makmur.

Sejak parti ini ditubuhkan pada tahun 1966, DAP sentiasa kekal sebagai sebuah parti yang berbilang kaum dan berjuang demi kesejahteraan dan kebajikan semua rakyat Malaysia.

Bercakap kepada Malaysia Dateline, Ahli Parlimen Kulai, TEO NIE CHING berkata, DAP adalah sebuah parti yang terbuka untuk semua warganegara Malaysia dan tuduhan DAP anti-Islam atau Melayu itu adalah tidak berasas.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan turut menjawab beberapa soalan daripada Malaysia Dateline dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

MD: Apakah kelebihan Kementerian Pendidikan ketika dibawah pentadbiran YB dahulu berbanding dengan yang ada sekarang?

Semasa zaman Pakatan Harapan (PH), kanak-kanak bukan warganegara boleh belajar di sekolah kerajaan kalau salah seorang ibubapa mereka adalah warganegara.

Pada tahun ini, saya terima banyak aduan bahawa kanak-kanak bukan warganegara tersebut menghadapi banyak kesulitan apabila ingin berdaftar dengan sekolah kerajaan.

Bukan itu sahaja, Kementerian Pendidikan Malaysia zaman Perikatan Nasional (PN) juga enggan bertemu dengan pemegang taruh.

Sampai hari ini, Menteri Pendidikan masih belum berjumpa dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK)

Apa projek utama yang YB boleh banggakan semasa menjadi Timbalan Menteri Pendidikan dahulu?

Antara kejayaan yang boleh dibanggakan adalah, kita berjaya mengembalikan semangat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang asal, iaitu untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik atau B40.

PH telah mewujudkan kuota sebanyak 60 peratus untuk pelajar B40. PH juga berjaya memansuhkan Seksyen 15 (1) (c) AUKU yang mengekang penglibatan para mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus.

Selain itu, Pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan (Zero Reject Policy) terhadap golongan Murid Berkeperluan Khas (MBK) secara berperingkat telah dimulakan bermula tahun 2019.

Seramai 83,039 orang murid telah mendaftar bagi Januari tahun 2019 manakala 92,755 orang murid pada tahun 2020.

Bukan itu sahaja, PH juga telah berjaya meningkatkan Elaun Murid Berkeperluan Khas dari tahun ke tahun.

RM100 juta diperuntukkan bagi tahun 2018, manakala RM142 juta pada tahun 2019, dan RM155 juta bagi tahun 2020.

Selepas tidak lagi jadi timbalan menteri, apakah cara YB membantu rakyat di kawasan atau rakyat Malaysia seluruhnya?

Saya cuba mencari sumber untuk menghulurkan bantuan kepada golongan B40 yang memerlukan.

Antara bantuan yang diberikan seperti pemberian bakul makanan dan tablet ataupun komputer riba terpakai.

Ada yang kata DAP ini anti-Melayu/Islam. Apa komen YB?

Ini adalah tuduhan yang tidak berasas. DAP adalah sebuah parti yang terbuka untuk semua warganegara Malaysia.

Kita tidak memperjuang untuk satu kaum atau agama. Pejabat saya sendiri mempunyai pegawai Melayu.

Ramai penerima bantuan dari pejabat saya juga adalah dari kaum Melayu. Kita tak pandang kaum atau agama. Kami hanya mengambil kira keperluan.