Wawancara: Harapan kerajaan tiada lagi ‘ikat perut’ mahasiswa, golongan isi rumah B40, miskin tegar

Wawancara: Harapan kerajaan tiada lagi ‘ikat perut’ mahasiswa, golongan isi rumah B40, miskin tegar

Pada Mac, akhbar melaporkan bahawa golongan mahasiswa di beberapa Universiti terpaksa menahan lapar menjamah sebuku roti sehari dan berpuasa akibat kekangan kewangan yang dihadapi

Susulan laporan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mula melaksanakan inisiatif pelancaran program Food Bank Siswa atau dikenali sebagai gerobok rezeki yang membantu mengurangkan kos sara hidup penuntut daripada keluarga B40 pada Ogos tahun lalu..

Pada 22 Disember 2018 Program Food Bank Malaysia dilancarkan secara rasmi dengan melebarkan tumpuan untuk membantu golongan isi rumah B40, mahasiswa dan miskin tegar.

Program Food Bank Malaysia ini sudah memberi manfaat kepada 85,489 penerima dari Ogos 2018 sehingga Mac 2019. Sejak dilancarkan pada Disember 2018  sejumlah 186,354 ketua isi rumah  di bawah paras garis kemiskinan di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan untuk memastikan rakyat tidak lagi ‘mengikat perut’ dalam usaha kerajaan untuk membantu  mengurangkan kos sara hidup kepada golongan sasaran.

Ikuti wawancara Malaysia Dateline yang disediakan oleh Siti Nur Zawani Miscon, bersama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chien Jen yang menerangkan lebih dalam tentang program Food Bank Malaysia pada pertemuan baru-baru ini.

_______________________________________________________________________________________________________

Chong Chien Jen

MD: Dari mana tercetus idea untuk melaksanakan program Food Bank ini?

Perkara ini bermula apabila kita mendapati rakyat Malaysia menghasilkan 15,000 tan lebihan makanan setiap hari. Boleh dikatakan, hampir 20 peratus makanan yang dibuang merupakan makanan yang masih selamat dimakan. Contohnya, roti atau biskut yang belum sampai tamat tempoh, dan bahan-bahan kering yang lain.

Ini bermaksud 20 peratus itu meliputi 3,000 tan makanan. Kita menjangkakan dengan inisiatif ini dapat menyelamatkan makanan tersebut dari dibuang dan menyalurkannya kepada orang yang memerlukan. Ia merupakan bantuan peduli rakyat yang mampu dimanfaatkan oleh 2.2 juta penduduk di negara ini selain mahu mengelakkan pembaziran makanan.

Kos sara hidup juga semakin tinggi, jadi saya fikir dengan bantuan yang diberikan membolehkan isi rumah melakukan penjimatan sehingga RM30 satu hari.

MD: Bagaimana proses pengagihan bantuan Food Bank itu dilaksanakan?

KPDNHEP bertindak sebagai penyelaras program, dimana kami bekerjasama dengan beberapa penyumbang pengurusan pasaraya utama yang terdiri dari pasaraya besar seperti Tesco, Giant, Econsave, NSK, Aeon Big, Aeon, Segi Fresh, Lulu, dan Hero Market.

Penyumbang ini akan menyalurkan segala makanan kering, dan bahan mentah kepada tiga rakan strategik utama yang bertindak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mengumpul bahan dari pasaraya, menyimpan bahan mentah secara sejuk beku, memasak dan mengagihkannya kepada penerima.

Diperingkat penerima, ia meliputi golongan B40, miskin tegar, dan juga pelajar. Dalam konteks bantuan ini, penerima bantuan tidak hanya dikhaskan kepada pelajar sahaja malah miskin tegar dan keluarga B40 turut mendapat manfaat.

Program Food Bank Siswa adalah kesinambungan daripada program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos lalu.

 MD: Bagaimana KPDNHEP memastikan bantuan makanan tersebut sampai ke tangan penerima tanpa cubaan memberi kelebihan kepada pihak yang tidak sepatutnya?

Bagi Golongan isi rumah B40 dan Miskin tegar: Kementerian menggunakan rekod data lengkap sedia ada untuk mengenalpasti penerima B40 yang layak. Disamping itu, untuk memastikan bantuan tersebut diterima, rakan strategi kami yang bertindak sebagai NGO akan melakukan penghantaran bahan dari rumah ke rumah dan menyampaikan secara ‘hand-to-hand’.

Badan-badan NGO ini berpengalaman dalam menjalankan bantuan mengumpul dan mengagihkan makanan kepada orang yang memerlukan. Mereka turut mempunyai kemudahan dapur komersil utama dan lori sejuk beku yang memudahkan pergerakan psnghantaran bantuan dilakukan.

Bagi golongan Mahasiswa B40: Bagi program yang baru dilancarkan pada Februari lalu, pihak Universiti telah mengenalpasti pelajar dari keluarga B40 melalui rekod yang disimpan pihak Universiti itu sendiri.

Mereka menggunakan kantin lama yang sudah ditinggalkan atau tidak diguna di Universiti tersebut. Kantin itu kemudiannya akan dibersihkan, ditambahbaik dan dijadikan tempat makan bagi penerima bantuan. Hanya mereka yang layak dibenarkan untuk masuk menikmati makanan percuma itu.

Setiap Universiti juga mempunyai sukarelawan dan persatuan mahasiswa yang membantu menjayakan program kementerian dengan bantuan memasak dan penyediaan makanan untuk golongan mahasiswa B40. Sekaligus, kita dapat memperkasakan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar dan juga masyarakat Malaysia.

MD: Bagaimana pula dengan hotel-hotel yang mempunyai lebihan makanan yang sudah dimasak. Adakah makanan tersebut masih layak untuk dimakan dan masih sempat untuk membuat penghantaran dari rumah ke rumah?

Dalam kes ini, Standard Operasi Prosedur (SOP) lebih ketat. Oleh sebab itu kita mesti mempunyai pakar dalam pengurusan makanan dan kita masih mencari. Buat masa sekarang, kita masih berunding dan berbincang dengan pihak hotel yang berminat untuk menjadi sebahagian dari penyumbang yang akan menyumbang lebihan makanan yang dimasak kepada ngo untuk dihantar kepada penerima bantuan.

Tambah pula, tidak lama lagi akan masuk waktu bulan puasa, dan saya pasti lagi banyak lebihan makanan yang tidak habis. Jadi kita akan berbincang dengan pihak hotel kerana kita perlukan seseorang yang pakar untuk memastikan makanan yang dimasak betul-betul boleh dimakan. Sama ada mereka menggunakan ‘deep freeze’, itu lagi selamat.

MD: Setakat ini, program Food Bank Siswa sudah mencapai berapa buah Universiti dan bilakah sasaran untuk meluaskan program ke semua Universiti Awam?

Setakat ini, program sudah dilancarkan di empat kampus universiti awam (UA), iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur; Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang; dan terbaru, Universiti Malaya (UM).

Kementerian juga telah melancarkan Food Pantry dan Central Kitchen di Universiti Malaya baru-baru ini iaitu pada 9April yang akan memudahkan proses pengumpulan bahan makanan, penstoran, penyediaan dan pengagihan.

Sehingga hujung tahun ini, kami menjangkakan seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mendapat manfaat dari program Food Bank Siswa ini.

Statistik terkini menunjukkan 113,706 ahli isi rumah dan lebih 1 ribu mahasiswa telah mendapat manfaat dari program yang dilaksanakan. Kami mengalu-alukan kepada pemain-pemain industri terutama pasaraya yang ingin menjadi penyumbang kepada program ini.

*Info lanjut boleh layari [email protected] atau hubungi Yayasan Foodbank Malaysia 03-8882 6887.