Malaysia Dateline

WAWANCARA: Kenapa takut Undi18 sekarang

Mengikut jangkaan, pelaksanaan undi 18 tahun akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya Julai ini sebelum pilihanraya diadakan. Namun beberapa pihak mula mempertikaikan had kelayakan usia mengundi ini.

Ada yang menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan sebelum Jun ini yang membawa kepada kemungkinan undi 18 tidak dapat dilaksanakan dan didaftarkan.

Ikuti temubual bersama Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH untuk mengulas beberapa perkara berhubung persediaan parti ke arah pilihanraya dan tanggapan terhadap undi 18.

Kamarul merupakan satu-satunya Senator pembangkang di Negeri Terengganu yang ditadbir Pas dan turut berkongsikan beberapa pengalaman sebagai bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Apa pandangan YB terhadap imej AMANAH yang dianggap parti kecil dan tidak memberi sumbangan apa-apa?

Bagi saya, parti ini baru lebih kurang lima tahun (penubuhannya) dan tak patut dibandingkan dengan parti besar yang lain seperti Umno atau Pas.

Tetapi itu bukan ukurannya kerana AMANAH yang baru wujud tiga tahun boleh memenangi 11 kerusi Parlimen. Ini menunjukkan satu pencapaian besar.

Saya percaya, tak semestinya saiz sebuah parti itu boleh meyakinkan satu kemenangan. Macam yang disebut juga tentang DAP. DAP ahli dia sekitar 300,000 orang. Tetapi kadar kejayaan mereka lebih 85 peratus dari apa yang ditandingi.

Jadi keahlian itu bukan ukuran sebenarnya. Saya tidak bimbang. Asalkan prinsip perjuangan kita kekal dan konsisten.

Bersediakah AMANAH untuk berhadapan dengan PRU-15? dan bagaimana pula tentang perkembangan undi 18 tahun yang seolah-olah dilengahkan?

Kita tak ada masalah besar dan boleh hadapi bersama dengan cabaran-cabaran yang ada. Masalah dalam parti, mana-mana pun memang wujud. Tetapi kecil atau besar biarlah kita uruskan bersama.

Kita seboleh-bolehnya tak nak lagi lah (PRU) kerana kita perlukan masa, ditambah dengan keadaan Covid-19. Tetapi mereka yang memegang kerajaan sudah tentu nak cepat kerana mereka boleh gunakan jentera kerajaan.

Tetapi saya percaya walaupun perkara ini dipercepatkan juga, rakyat dah mula sedar. Baru-baru ini ada suara dari pihak atasan PN yang mempertikaikan keupayaan pengundi 18 untuk membuat keputusan. Antaranya ialah Yang Dipertua Dewan Negara iaitu Tan Sri Dr Rais Yatim.

Kenapa mereka timbulkan semula? Perkara ini sudah dipersetujui dan sepatutnya dilaksanakan terus. Kita sudah bersedia dengan pengundi 18, kenapa mereka tidak bersedia?

Saya rasa pelik. Adakah mereka meremehkan keupayaan dan kebolehan anak muda untuk membuat keputusan? Ini tidak sihat dan saya rasa orang muda patut bangun membantah kerana mereka berhak memilih kerajaan yang mereka mahukan.

Nampaknya PN ini tak mahu libatkan pengundi 18 dan cuba menggagalkan usaha pengundi ini dari mengambil bahagian kerana takut anak muda bersuara.

Menurut YB, bolehkah AMANAH bekerjasama dengan Umno dalam pilihan raya akan datang?

Konsep kita ialah kita tidak mahu bersekongkol dengan kluster mahkamah yang sedang didakwa dan disabitkan tuduhan. Kita tidak boleh kompromi atas nilai rasuah. Kita tak mahu lagi libatkan mereka yang bermasalah.

Tapi kalau mereka yang tidak ada kes atau rekod jenayah, parti mana saja pun kita boleh terima demi untuk kebaikan rakyat. Saya rasa itu penting

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pun dah cakap kita kena tunggu dan lihat situasi semasa ketika ini. Keputusan akan diambil atas apa yang berlaku ‘on the ground’.

Jadi tak boleh nak kata kita tolak orang bulat-bulat. Tapi kita pun tidak ada apa-apa perjanjian dengan Umno. Apa yang boleh dikatakan, kita masih bersikap terbuka atas kebersihan individu yang terlibat.

Sebagai Pengerusi AMANAH Terengganu dan Senator PH di negeri yang dikuasai Pas, bagaimana YB meneruskan bantuan di sana?

Saya cuba gunakan sedikit sebanyak pengaruh sebagai senator pembangkang di Terenggganu sekarang ini untuk membantu mereka yang tak mendapat apa-apa bantuan kerana kerajaan Terengganu ini faham sahajalah. Pusat dan negeri pun dikuasai Pas.

Baru-baru ini ada orang Umno datang berjumpa dengan saya dan mengadu, nak dapat bantuan pun susah. Jadi saya cuba memberi bantuan pada mereka yang terlepas bantuan oleh pihak berkuasa. Tahun lepas, Ketua Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa bahawa bantuan Covid-19 RM10 juta tidak sampai pun kepada mereka.

Kalau Umno yang dalam Perikatan Nasional pun tak terima bantuan tersebut, pihak yang lain itu saya rasa boleh dikatakan memang tak dapat langsung lah.

Walaupun peruntukan tak ada, tapi kita cuba juga cari sendiri untuk bantu rakyat di sini.

SETAHUN SELEPAS MENINGGALKAN KPKT

Apa pandangan YB terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diteruskan oleh Menteri sama tetapi di bawah kerajaan baharu?

Semasa pentadbiran PH, kementerian mahu melaksanakan satu data terperinci yang lengkap supaya kita dapat maklumat individu yang betul-betul susah untuk menerima rumah murah dan mampu milik.

Kita nak sasarkan pada orang susah. Ada di antara mereka yang menunggu berpuluh puluh tahun tapi tak dapat lagi. Mengikut perancangan pada tahun 2020, data lengkap perumahan mampu milik dan orang miskin sepatutnya siap pada tahun lepas lagi.

Tapi sehingga hari ini kita tak dengar apa-apa pun sekiranya ada atau tidak data ini. Itu satu persoalan yang saya rasa sangat mengecewakan

Ini akan menyebabkan orang yang tak dapat rumah, terpaksa tertunggu-tunggu atas pemberian hak politik dan bukannya kerana kemiskinan. Itu satu perkara yang terkilan sebab kita dah dua tahun tapi tak ada data.

Selain itu, dulu kita ada dasar komuniti negara dan dasar kejiranan. Waktu Covid-19 ini dah tak dengar langsung tentang program dasar kejiranan. Sepatutnya masa ini lah dasar kejiranan dan perumahan negara dikuatkan sebab ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini maknanya tidak ada kesinambungan. Pada saya tidak sepatutnya ada alasan lain kerana kementerian perumahan sahaja yang menterinya merupakan menteri yang sama. Menteri yang sama, polisi sama tapi apa masalahnya sekarang ini? Saya tak faham. Kita tak tahu hala tuju itu masih sama macam dulu ke atau dah berubah.