Malaysia Dateline

WAWANCARA: Kerajaan PH cemerlang kurangkan beban rakyat, pulihkan negara

18 Mac 2021 nanti genaplah 55 tahun penubuhan DAP sebagai sebuah parti politik yang sah di Malaysia.

Perjuangan DAP untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik dan adil untuk seluruh rakyat berbilang bangsa dan agama kekal relevan serta amat bersesuaian sehingga ke hari ini.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membuktikan bahawa DAP semakin diterima rakyat Malaysia setelah berjaya memenangi 42 kerusi Parlimen, manakala 12 pimpinan DAP dilantik menganggotai barisan kabinet Pakatan Harapan (PH).

Ketika bersama kerajaan, DAP dan PH berjaya membuktikan mereka berjaya memerintah dengan adil untuk seluruh rakyat. Namun PH jatuh kerana serangan isu perkauman yang dimainkan Umno dan Pas dan pengkhianatan Bersatu.

Setiausaha Agung DAP yang juga merupakan mantan Menteri Kewangan, LIM GUAN ENG menjawab beberapa soalan daripada Malaysia Dateline dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

MD: Apakah kelebihan Kementerian Kewangan ketika dibawah pentadbiran YB dahulu berbanding dengan yang ada sekarang?

Sungguhpun kita berdepan dengan lambakan hutang kerana skandal 1MDB, kita masih berjaya mengekalkan penarafan kredit antarabangsa atas usaha mengurangkan rasuah menerusi tender terbuka, menjana penjimatan menerusi pentadbiran CAT (Cekap Akauntabel dan Telus) dan menilai semula kontrak mega yang dihantui dengan penyelewengan.

Kita juga berjaya mengekalkan semua KPI antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

 

Datuk Dr Zulkefli Albakri mengunjungi Lim Guan Eng di pejabatnya dekat Kementerian Kewangan pada 13 Julai 2018.

Apa projek utama yang YB boleh banggakan semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu?

Antara kejayaan yang boleh dibanggakan adalah, kita berjaya mengurangkan kadar tol sebanyak 18% sebagai langkah permulaan untuk menghapuskan tol secara berperingkat seperti yang tertera dalam janji keenam manifesto PH pada PRU-14.

Inisiatif PH memperkenalkan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam) juga dilihat mendapat reaksi positif daripada golongan B40 yang mengalami kesulitan kewangan dan ditimpa penyakit kritikal.

Selain itu, peruntukan untuk Sabah dan Sarawak berjaya ditingkatkan, malah buat pertama kalinya semua sekolah agama dan vernakular diberi peruntukan serta sebahagian besar royalti minyak dipulangkan kepada Terengganu dan Kelantan, juga akhir sekali kita berjaya mengurangkan harga petrol.

Selepas tidak lagi jadi menteri, apakah cara YB membantu rakyat di kawasan atau rakyat Malaysia seluruhnya?

Saya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP Covid-19 sepenuhnya tanpa ‘double-standard’. Ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada orang lain.

Apabila kini menjadi ahli parlimen pembangkang, saya menjalankan tugas sebagai penyemak imbang, memberi saranan kepada kerajaan bagi memastikan hak-hak rakyat keseluruhannya terbela.

Ketika pandemik ini, ramai yang kesusahan, jadi saya turun membantu memberi sumbangan kepada ramai keluarga, pihak sekolah dan rumah-rumah ibadat bagi semua agama di Parlimen Bagan yang kesempitan.
Selain itu pada 25 Jun 2020 saya telah menulis surat kepada Lembaga Tabung Haji untuk membantah penutupan tanpa sebab Pejabat Tabung Haji di Butterworth yang terletak dalam Parlimen Bagan.

Pejabat tersebut telah memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Islam di kawasan Bagan dan berdekatan selama lebih daripada 30 tahun dan penutupannya tanpa sebab itu menyebabkan ramai penduduk beragama Islam memohon bantuan saya dan akhirnya pejabat tersebut berjaya dikekalkan perkhidmatannya di Butterworth.

Lim membentangkan Bajet 2019 yang memberikan banyak peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat.

Ada yang kata DAP ini anti-Melayu/Islam. Apa komen YB?

Ini adalah fitnah jahat yang merupakan serangan kotor parti lawan dan kita telahpun menang di mahkamah menandakan DAP bukanlah seperti yang mereka katakan.

Mereka ini hanya bergantung kepada taktik lapuk dan ekstremisme agama untuk mencetuskan kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Apakah PH benar-benar bersatu dan sedia untuk hadapi PRU-15?

Ya. PH akan kekal bersatu dan bersama-sama hadapi PRU-15.