WAWANCARA: Tarik balik Statut Rom keputusan bijak Perdana Menteri

WAWANCARA: Tarik balik Statut Rom keputusan bijak Perdana Menteri

Pelbagai spekulasi mengenai triti antarabangsa, Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mula timbul sejak isu berkenaan terpalit di negara ini kebelakangan ini. Rencam andaian dan pendapat daripada masyarakat ‘bertiup kencang’ di ruangan media sosial dan juga di aplikasi Whatsapp mengenai perjanjian antarabangsa itu.

Hujah demi hujah silih berganti, pelbagai pandangan boleh dilihat di pentas media sosial sehinggalah 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan mengumumkan secara rasmi penarikan balik ratifikasi Statut Rom ICC.

Bagi mengupas dan mendengar isu ini dengan lebih mendalam, Peguam dan Pakar Undang-Undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mempunyai pandangan tersendiri apabila diajukan soalan oleh wartawan Malaysia Dateline, Akmal Manaf pada pertemuan baru-baru ini.

_______________________________________________________________________________________________________________

Mohd Khairul Azam Mohd Aziz

MD: Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menarik balik ratifikasi Statut Rom ICC? Apa pendapat tuan tentang langkah yang telah diambil Perdana Menteri?

Pendapat saya, kenyataan Tun Dr Mahathir adalah satu keputusan terbaik yang dibuat selepas desakan itu datang daripada Majlis Raja-Raja. Jadi untuk mengelakkan isu ini menjadi polemik yang lebih besar, maka tindakan Malaysia menarik balik ratifikasi itu adalah langkah yang terbaik dan menarik diri daripada meratifikasi itu bukanlah sesuatu yang pelik.

Baru-baru ini juga Filipina menjadi negara yang telah menarik diri. Negara-negara Asean yang lain seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand juga tidak meratifikasi Statut Rom ICC. Saya memuji tindakan Tun Dr Mahathir yang tidak turut serta dalam perjanjian antarabangsa ini.

MD: Berdasarkan pemerhatian di media sosial, masyarakat/netizen dilihat menzahirkan kugasaran/kerisauan mereka mengenai triti antarabangsa ini. Adakah Statut Rom ICC ini mendatangkan ‘bahaya’ atau pun berpotensi memberi kesan negatif kepada negara yang terlibat?

Statut Rom ini tidak bahaya… tetapi yang bahayanya adalah tindakan kerajaan yang tidak mengikut perlembagaan. Perlembagaan Perkara 38 (4) menyatakan bahawa jika hendak masuk ke dalam apa-apa undang-undang atau pun perjanjian yang melibatkan kemuliaan, kedudukan, keistimewaan Raja-Raja Melayu, kerajaan perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.

MD: Mengapa perjanjian ini ditentang di Malaysia?

Sebenarnya ada dua isu untuk difahami. Pertama, iaitu ratifikasi Statut Rom itu sendiri dan yang keduanya, ialah cara ia diratifikasikan.

Pada saya perjanjian Statut Rom itu tiada masalah, kerana Malaysia bukanlah negara yang akan melakukan empat jenayah yang terdapat dalam perjanjian antarabangsa itu seperti jenayah penghapusan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Agak mustahil untuk Malaysia melakukan empat jenayah itu, dan penduduk di negara kita juga tiada kecenderungan pun untuk melakukan jenayah-jenayah tersebut, jadi pada saya, tiada masalah untuk Malaysia masuk dalam Statut Rom. tetapi kerajaan kena masuk dengan cara yang betul.

Kalau masuk dengan cara yang tidak betul, yang melanggar kemuliaan, keistimewan dan kedudukan Raja-Raja Melayu, itu adalah satu tindakan yang tidak berpelembagaan.

Jadi itulah yang Tunku Mahkota Johor (TMJ) bangkitkan sebelum ini. Tindakan itu tidak berpelembagaan. Apa yang TMJ cakap itu betul, sebab itu Tun Dr Mahathir tarik balik ratifikasi berkenaan.

MD: Sejauh mana Statut Rom ini memberi kesan kepada Raja-Raja dan juga rakyat Malaysia?

Itu yang saya kata, dalam perjanjian ini, ada dua isu berbangkit. Pertama adalah, jika hendak meratifikasi dan yang keduanya adalah kandungan Statut Rom itu sendiri. Pada pendapat saya, apa yang terkandung dalam Statut Rom itu memang tiada masalah untuk negara kita menyertai perjanjian antarabangsa itu sebab bukan kita nak buat benda-benda seperti empat jenayah yang ada dalam perjanjian tersebut.

Situasinya umpama macam ini. Kita tiada masalah untuk menyokong hukuman gantung sampai mati bagi pengedar dadah, kerana kita tidak terlibat dalam aktiviti itu, tetapi hanya pengedar dadah atau orang yang terlibat dengan dadah sahaja akan membantah hukuman mati tersebut.

Itu bukanlah isunya, itu contoh sahaja.. Isunya sekarang ialah, cara kerajaan masuk/menandatangani perjanjian itu sudah melanggar proses. Contohnya macam, kita nak bernikah.. kita nak bernikah, adabnya adalah, kita perlu berjumpa dengan mak ayah pasangan kita untuk mendapat restu terlebih dahulu.

Walaupun pernikahan itu adalah satu yang suci, lelaki dan perempuan sudah bercinta, suka sama suka, sayang menyayang, mana boleh kita ambil anak orang, terus jumpa tok kadi untuk bernikah, kerana kita juga ada adat kita.

MD: Apa bezanya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)?

Apa yang saya boleh jelaskan, setiap mahkamah mempunyai bidang kuasa yang tersendiri. Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan mengendalikan kes membabitkan empat jenayah yang disenaraikan dalam Statut Rom iaitu, jenayah penghapusan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pula, bidang kuasanya lain. Ia melibatkan, sebagai contoh kes mengenai tuntutan Pulau Batu Putih.

 

*Mohd Khairul Azam Abdul Aziz adalah peguambela dan peguamcara di Azam Aziz Shaharudinali & Co