Malaysia Dateline

WAWANCARA: Terus serlahkan DAP parti wakili semua lapisan masyarakat

DAP sejak penubuhannya pada 1966, telah memiliki ramai pemimpin dan calon yang terdiri daripada pelbagai kaum, termasuk orang Melayu.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 iaitu pilihan raya pertama disertai DAP, parti tersebut meletakkan beberapa calon Melayu.

Hari ini, parti tersebut mempunyai tujuh Ahli Dewan Undangan (Adun) dan seorang ahli Parlimen Melayu.

Bercakap kepada Malaysia Dateline, Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP, ONG KIAN MING berkata, parti itu akan terus berusaha menjelaskan platform parti kepada orang ramai dan menunjukkan melalui tingkah laku — bahawa DAP adalah parti mewakili semua lapisan masyarakat Malaysia.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta seorang pemegang PhD dalam sains politik turut ditanya pelbagai soalan lain termasuk soal kemungkinan kerjasama dengan Umno dan kesepaduan Pakatan Harapan (PH) menghadapi pilihan raya akan datang.

MALAYSIA DATELINE (MD): Apa kelebihan kementerian yang YB jaga dahulu berbanding dengan yang ada sekarang?

ONG KIAN MING (OKM): Keterlibatan (engagement) bersama pihak industri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mendengar permasalahan-permasalahan serta cabaran-cabaran mereka oleh menteri dan timbalan menteri dilihat lebih kerap dan interaksi lebih berkualiti di bawah Kerajaan PH berbanding sekarang.

Apa projek utama yang YB boleh banggakan?

Projek yang paling ketara di bawah pejabat Parlimen saya adalah kerja-kerja memperbaiki dan menaik taraf melibatkan Stadium Kajang, Bandar Baru Bangi menerusi sebuah tender terbuka.

Selepas tidak jadi menteri, apa cara YB bantu rakyat kawasan YB?

OKM: Sebelum jadi menteri, saya boleh melakukan tugas untuk bantu rakyat di kawasan dari tahun 2013 ke 2018.

Sekarang, saya juga sedang melakukan tugas saya untuk mewakili penduduk dan pemilih di kawasan Bangi.

Ada yang kata DAP ini anti Melayu/Islam. Apa komen YB?

Sebanyak tujuh calon Melayu DAP dilantik sebagai Adun dan seorang dilantik sebagai ahli Parlimen pada PRU 2018. Tiga daripada Adun dilantik sebagai exco selepas PRU 2018.

DAP meletakkan calon Melayu dalam PRU sejak tahun 1969.

DAP terus berusaha untuk menjelaskan platform parti kepada orang ramai dan menunjukkan melalui tingkah laku kami bahawa parti DAP bukan satu parti anti-Melayu dan anti-Islam tetapi adalah satu parti yang mewakili semua lapisan masyarakat Malaysia.

Apakah DAP boleh bekerjasama dengan Umno dalam PRU akan datang?

Ini semua bergantung kepada syarat untuk bekerjasama dalam kerangka Pakatan Harapan.

Apakah PH benar-benar bersatu dan sedia untuk hadapi PRU 15?

Ya. Kita juga harap kita boleh dapat sokongan PH++ termasuk parti lain yang bersejiwa.