Wawancara: Tiga perkara harus diperhalusi bagi merealisasikan Model Felda Baharu

Oleh MALAYSIADATELINE

Penubuhan Lembaga Tanah Persekutuan (Felda) selama 61 tahun telah membangunkan 112,635 peserta di 317 tanah rancangan dengan keluasan 490,000 hektar seluruh negara.

Namun Felda memasuki ‘zaman gelap’ sedekad lalu, apabila aliran tunai tidak mampu menampung perbelanjaan operasi, kos penanaman semula serta pinjaman untuk peneroka oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan FGV Holdings Berhad (FGV).

Sebanyak 7 NGO berkaitan Felda terbabit dalam membantu proses membentuk pasukan khas di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama pengurusan baru Felda dan firma profesional untuk menilai semula kedudukan kewangan, pelaksanaan kajian audit dan pembentukan hala tuju baru Felda menerusi Kertas Putih Felda.

Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) antara NGO yang terbabit berpandangan, Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya akan mencapai matlamatnya sekiranya kerajaan dapat memperhalusi tiga perkara bagi merealisasikan Model Felda Baharu.

Ikuti pandangan Presiden ANAK MOHD NASAIE ISMAIL mengupas beberapa intipati yang terkandung dalam Kertas Putih Felda menerusi temubual bersama Pengarang Berita Malaysia Dateline, DALIA ISMAIL mengenai beberapa inisatif yang akan diperkenalkan  oleh kerajaan dalam Model Felda Baharu kelak.

______________________________________________________________________________________________________________

Mohd Nasaie Ismail

MD: Sejauhmana saudara melihat Model Felda Baharu menerusi Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

Secara umumnya model ini dilihat lebih komprehensif kerana semua pihak dilibat sertakan dalam proses peningkatan hasil ladang peneroka. Felda sebagai agensi pengurusan tanah memberikan peluang kepada koperasi milik peneroka dan generasi kedua dan ketiga untuk menguruskan ladang tersebut.

Ia membawa maksud prestasi ladang sawit atau getah tersebut tidak hanya bergantung kepada salah satu pihak sama ada peneroka atau Felda, tetapi semua pihak akan memainkan peranan bersama untuk meningkatkan hasil mereka. Walaubagaimanapun tiga perkara mesti diperhalusi terlebih dahulu oleh pihak kerajaan sebelum melaksanakan model ini.

Pertamanya peneroka mesti diberi peluang samada memilih untuk bersama model baru ini atau mengurus sendiri ladang mereka setelah mereka mendapat penerangan daripada pihak Felda.

Keduanya penglibatan anak dan cucu peneroka mesti dimaksimumkan sebagai pihak yang menguruskan ladang bagi pihak peneroka, dikalangan pengurusan Felda pelbagai peringkat dan juga sebagai pekerja. Ini kerana sudah terlalu ramai anak peneroka yang berjaya dalam pelbagai bidang, mempunyai kepakaran dan pendidikan tinggi, tetapi tidak ramai yang dilibatkan dengan Felda sebelum ini.Dalam masa yang sama ia akan memberi peluang pekerjaan kepada generasi Felda.

Ketiganya kerajaan mesti mengkaji dahulu implikasi undang undang terhadap model ini kerana asasnya tanah peneroka terikat dengan Akta Petempatan Berkelompok atau GSA yang tidak membenarkan tanah dipajak.

Selesai ketiga-tiga perkara ini, saya yakin model baharu ini akan terlaksana dengan sangat berkesan.

MD: Bagaimana pula dengan skim baharu menjanjikan pinjaman berasaskan keperluan dan sistem bayaran balik berdasarkan pendapatan peneroka. Adakah ia dapat menghapuskan hutang peneroka sama ada dalam jangka panjang atau pendek?

Pertama sekali kita perlu faham asas pinjaman peneroka ialah untuk sara hidup sepanjang proses tanam semula sebelum pokok mengeluarkan hasil.

Jadi ia satu keperluan. Sebelum ini, peneroka tidak diberikan penyata hutang mereka yang muktamad. Terdapat banyak keraguan kepada jumlah hutang mereka yang sebahagiannya lebih daripada jumlah yang sepatutnya. Selain itu terdapat hutang tidak wajar yang dipaksakan kepada mereka seperti kelewatan pihak Felda melaksanakan proses tanam semula lebih daripada 2 ke 3 tahun menyebabkan peneroka terpaksa menerima hutang sara hidup lebih daripada sepatutnya atas kesilapan pihak lain.

Hal ini perlu diperhalusi dan dimuktamadkan. Setelah penyata hutang peneroka dimuktamadkan, saya percaya pelan baru kerajaan tersebut akan membawa kejayaan sebagaimana dirancang.

MD: Projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) kepada 4,794 peneroka generasi baru. Adakah ia mencukupi (tawaran rumah) dengan keseluruhan jumlah peneroka seluruh negara?

Perumahan Generasi Baru Felda ini hasil kegagalan kerajaan yang lepas yang terpaksa diselesaikan oleh pentadbiran baru Malaysia.
Walaubagaimanapun isu perumahan tidak pernah selesai bukan sekadar di Felda tetapi di seluruh Malaysia. Keperluan rumah sentiasa bertambah tahun demi tahun. Maka dalam konteks Felda, suatu pelan berasingan untuk perumahan atau petempatan generasi baru Felda perlu dibuat dengan mengambil kira saiz tanah sedia ada milik peneroka peneroka yang boleh didirikan rumah generasi baru.

Namun ia perlu kajian mendalam kerana melibatkan impak undang undang, hukum hakam fara’id bagi yang beragama Islam dan juga impak kewangan.

Tidak semua generasi baru Felda mempunyai keupayaan untuk memohon pinjaman perumahan daripada bank. Sebab itulah saya katakan perumahan generasi baharu Felda ini perlukan pelan berasingan setelah dikaji secara mendalam.

Bilangan peneroka mengikut kawasan  tanah rancangan Felda seluruh negara -.Sumber Kertas Putih Felda.

MD: Berkaitan dengan latihan teknikal dan vokasional kepada generasi kedua dan ketiga adakah ia akan dapat mengurangkan tenaga buruh asing atau sebenarnya buruh asing masih diperlukan tenaga kerja dalam industri kelapa sawit dan getah?

Pada fahaman saya, latihan ini ke arah melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir di kalangan generasi baharu Felda yang bukan sekadar akan menyumbang kepada industri sawit dan getah, tetapi juga kepada negara. Namun diperingkat buruh tempatan yang akan melaksanakan tugas buruh asing sebelum ini adalah hal berasingan dengan latihan tersebut.

Kempen, peluang dan galakan kepada anak anak tempatan untuk bekerja dalam industri ini perlu dilaksanakan agar ia bukan sehaja memberi peluang pekerjaan tetapi juga menyelesaikan isu kebergantungan kerajaan terhadap buruh asing.

MD: Tanaman alternatif yang berpotensi (buahan,sayuran, kenaf, ternakan) dengan peruntukan RM1bilion untuk tempoh 4 tahun kepada  peneroka. .Sejauhmana guna tenaga, kemahiran di kalangan peneroka menerusi ‘smart farming’ dan ‘precision agriculture’ dapat dilaksanakan untuk mereaisasikan cadangan tanaman alternaif ini?

Sebenarnya tanaman alternatif ini bukan perkara baharu kerana sebahagian besar peneroka sudah lama menggunakan sebahagian tanah mereka untuk tanaman kontan atau penternakan. Namun kebanyakannya, ibarat kata hendak makan berlebih, hendak dijual tidak cukup. Sekadar saiz sederhana yang tidak dikormersialkan.

Maka melalui pelan baharu kerajaan ini, peneroka atau generasi baharu Felda perlu dibantu daripada sudut latihan dan bantuan untuk memperbesarkan saiz tanaman dan mengkomersialkan hasil tanaman mereka agar ianya menjadi satu perniagaan atau pendapatan. Ini sangat penting bagi mempersiapkan kita bagi menghadapi sebarang cabaran seterusnya dalam industri sawit dan getah yang boleh jadi menjejaskan pendapatan peneroka.

MD: Skim pengurusan aset canggih (SPAC) akan diperkenalkan bagi memberi bantuan yang lebih fleksibel menggantikan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil. Peneroka akan menerima pinjaman yang bersesuaian berdasarkan pendapatan. Boleh diterangkan cara pelaksanaannya kelak, adakah lebih menguntungkan peneroka?

Saya meyakini skim ini lebih baik daripada sebelum ini. Namun harus diingat kejayaannya bergantung kepada pengurusan dan pemantauan daripada pihak kerajaan. Pengurusan Felda dan pihak peneroka perlu dibantu ke arah meningkatkan profesionalime dalam menguruskan kewangan tersebut agar ia memberi keuntungan kepada mereka dan mencapai tujuan diberikan pinjaman tersebut dan keupayaan untuk membayar kembali.

MD: Pasukan bola sepak Felda United juga tersenarai antara yang perlukan biaya tinggi akan dikaji semula dalam kertas putih Felda. Apa pandangan?

Pandangan saya Felda United bukan satu perioriti ketika ini. Kita menyokong usaha untuk meningkatkan generasi baru dalam sukan, tetapi di tengah tenatnya kewangan Felda ketika ini, prioriti mesti diberikan kepada hal asas seperti pengurusan ladang, hutang dan mencipta pendapatan baru Felda.

Maka bajet untuk Felda United buat sementara waktu ini boleh disalurkan kepada hal lebih penting sehinggalah kedudukan kewangan Felda pulih kembali.