Malaysia Dateline

Wawasan Malaysia yang bertolak-ansur selaras dengan SDG ,kata Mujahid

 Konsep Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang bertolak-ansur adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

“Dalam hubungan untuk membangunkan sebuah negara yang bertolak-ansur, kita mendapati ia tidak bertentangan dengan matlamat SDG.

“Kerangka negara yang bertolak-ansur juga mengetengahkan lima unsur nilai iaitu pemuliharaan harta, pemuliharaan agama, pemuliharaan kehidupan, pemuliharaan minda dan pemuliharaan keturunan,” katanya ketika berucap pada sesi pleno sempena Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Konsep Rahmatan Lil Alamin mendukung unsur belas kasihan ke atas semua ciptaan yang merangkumi pelbagai kaum dalam konteks rakyat Malaysia.

Mujahid berkata, mengikut Maqasid Syariah, aspek ini merangkumi isu kemanusiaan, keamanan, keadilan, isu kesamarataan dan isu kebebasan.

“Ini akan menjurus kita kepada kefahaman yang lebih terhadap kemanusiaan, membawa kita untuk memahami dengan lebih lagi terhadap kesejagatan, mengenai pelbagai agama, dan kefahaman bagaimana untuk hidup dalam keamanan.

“Jadi Maqasid akan membantu kita untuk mencapai matlamat ke-16 SDG,” katanya merujuk kepada matlamat bagi mencapai keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh dalam negara.

Sementara itu, bagi menangani isu pengganas dan pandangan yang ekstrem, beliau berkata model Malaysia boleh membantu.

“Seperti yang anda tahu Islam kadang-kadang telah diancam oleh pandangan dan ideologi yang ekstrem, jadi sebagai menteri hal ehwal agama, saya boleh beritahu semua rakyat Malaysia bahawa apa jua yang kita mahu laksanakan berhubung dengan Islam, dalam kerangka dasar negara, ia hendaklah ditentukan oleh model tempatan Malaysia. Kita tidak melaksanakan atau import model lain dan menyatakan ini Islam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata daripada tiga aspek utama yang disenaraikan di atas, terdapat tujuh kelompok diletakkan di bawah perundangannya sebagai menteri hal ehwal agama.

Ia termasuk sosio-ekonomi, perundangan dan kehakiman, dakwah dan media, pendidikan/modal insan, halal/Tabung Haji, masjid dan penyelidikan dan Maqasid.

Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, yang bertemakan Mempercepatkan Kemajuan SDG: Pendekatan Keseluruhan Negara, yang akan menyumbang idea dan strategi untuk menggerakkan Agenda Pembangunan Lestari 2030 ke hadapan dan merangsang perkongsian menerusi pendekatan keseluruhan negara dalam membentuk SDG.– BERNAMA