Malaysia Dateline

Wayang opera Cina DAP: Pensyarah UUM dakwa jadi ‘mangsa fitnah besar’

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff mendakwa menjadi “mangsa fitnah besar untuk membunuh karakter” dia susulan hantaran di Facebook bertajuk, “Wayang opera Cina DAP sekali lagi?”.

Pensyarah Kanan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) itu berkata, hantaran itu telah ditularkan di pelbagai media sosial sejak kira-kira jam 5 petang semalam.

Dakwanya, ketika hantaran Facebook palsu itu berlaku, akaun Facebook miliknya telah dihukum denda tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran atau komen selama 24 jam.

Hukuman itu jelasnya, susulan aduan bahawa hantaran dia sebelum ini melanggar Community Standards Facebook.

Petang semalam, tular hantaran Facebook atas akaun ‘Kamarul Yusoff’ yang mengulas aksi Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berbasikal buat kali kedua dengan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam menyerahkan bantuan kepada asnaf di sekitar negeri itu.

“Sebelum ini wayang tentang pembelian motosikal yang tak wujud sekarang wayang kononya berbasikal dengan Raja Muda Perlis.

“Lelaki di dalam gambar bertopeng sepanjang masa dan tiada bukti itu merupakan Raja Muda Perlis.

“Satu kebiadapan DAP terhadap institusi Raja-Raja Melayu,” dipetik dari hantaran Facebook yang didakwa palsu oleh Kamarul itu.

LANJUT MENYUSUL