Waytha Moorthy masuk hospital selepas tinjau Kuala Koh

Waytha Moorthy masuk hospital selepas tinjau Kuala Koh

Menteri Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, P Waytha Moorthy dimasukkan ke hospital awal pagi tadi selepas demam panas, selesema, muntah-muntah dan cirit-birit, dipetik dari FMT.

Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu difahamkan kembali ke Putrajaya selepas dua minggu membuat tinjauan di penempatan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan ekoran wabak penyakit yang meragut nyawa.

“Beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat jemaah menteri hari ini dan mungkin terpaksa membatalkan semua acara minggu ini sehingga diberitahu kelak,” kata FMT.

Hospital sedang menjalankan ujian ke atas Waytha bagi mencari punca sakit. Beliau dikatakan berada di kampung suku Bateq itu sekurang-kurangnya empat hari.

Walau bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada ia berkaitan dengan dakwaan pencemaran air di Kuala Koh.

Seramai 113 orang di kampung itu disahkan demam campak manakala tiga orang disahkan meninggal dunia kerana penyakit itu.

Turut dilaporkan, 12 penduduk kampung lagi meninggal dunia semasa perjalanan dari Taman Negara di Pahang ke Gua Musang, yang mungkin disebabkan oleh pneumonia.