Malaysia Dateline

Waytha Moorthy minta masyarakat India bertenang

Masyarakat India di negara ini dinasihatkan bertenang dan bersikap rasional dalam menghadapi isu kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mendakwa, ini kerana ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan menghasut suatu pergolakan sosial.

“Saya menyeru komuniti India di Malaysia untuk bertenang dan tidak bertindak melulu dalam menangani isu ini.

“Kerajaan memandang serius kejadian ini dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengecam keras tindakan liar sekumpulan lelaki di sekitar kuil itu malam tadi, Moorthy berkata, tindakan segera perlu diambil terhadap beberapa kumpulan yang berselindung di sebalik niat untuk menjaga nama kuil itu.

“Serangan oleh sebuah kumpulan yang tidak dikenal pasti ke atas One-City Mall malam tadi, adalah tidak wajar dan boleh dikatakan sebagai tindakan provokatif bertujuan untuk mengganggu keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia umumnya.

“Isu kuil tersebut adalah di antara pemaju tanah, di mana kuil itu terletak, dan pengurusan kuil. Ia tidak seharusnya dieksploitasi untuk menjadi konflik perkauman,” katanya yang turut menggesa jawatankuasa pengurusan kuil mengawal dan memastikan keselamatan penganutnya.

Dalam pada itu, Moorthy menyifatkan serangan ke atas seorang ahli bomba sebagai sesuatu yang keji.

“Serangan ke atas ahli bomba itu adalah keji kerana mereka hanya melakukan tugas bagi memastikan keselamatan penganut di sekitar kuil itu,” katanya, lapor Sinaronline.