Malaysia Dateline

Wee Jeck Seng calon BN di PRK Tanjung Piai

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, akan kembali bertanding merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai setelah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu 16 November ini.

Nama beliau diumumkan Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad di Bilik Gerakan BN PRK Tanjung Piaipada Rabu di hadapan kira-kira 300 penyokong parti itu.

Hasni berkata pemilihan Jeck Seng sebagai calon adalah keputusan sebulat suara kepimpinan BN dan dipersetujui Pas.

“Setelah semua faktor daripada pelbagai sudut diambil kira melalui perbincangan dan mesyuarat akhir kepimpinan BN…kami kekalkan kerusi ini kepada MCA,” katanya ketika majlis pengumuman calon BN itu.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi bahawa UMNO akan meletakkan calon bagi mewakili BN pada PRK bagi kerusi parlimen itu, yang secara tradisi ditandingi calon daripada MCA.

Jeck Seng pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 hingga 2018, dan sebelum itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.

Beliau sekali lagi bertanding bagi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lepas namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafiq.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu adalah Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sebelum ini, PH mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon parti itu. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pula menamakan Timbalan Setiausaha Agungnya Wendy Subramaniam sebagai calon pada PRK itu.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini, manakala tarikh penamaan calon pada Sabtu ini (2 Nov) dan pengundian awal pada 12 Nov.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid, seorang pakar bius, memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).– BERNAMA