Malaysia Dateline

Wee Ka Sing gagal: Malaysia rugi besar dalam pelaburan teknologi digital

DAP menyifatkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong adalah seorang Menteri yang gagal kerana keras kepala dengan dasarnya menyebabkan kerugian besar pelaburan penting berbilion ringgit dalam sektor teknologi digital.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pelaburan penting oleh Facebook dan Google ini telah melangkau Malaysia dengan memilih Singapura dan Indonesia.

Beliau berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meminta pengembalian semula pengecualian kabotaj bagi kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel dasar laut.

Pengerusi MDEC Rais Hussin dalam satu kenyataan mengatakan bahawa tiga kabel baru yang pada awalnya dirancang untuk mendarat di Malaysia kini sedang dikaji semula.

“Rais mengatakan bahawa turut dikaji semula adalah pelaburan asing berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion,” katanya.

Pengecualian kabotaj telah diluluskan oleh bekas Menteri Pengangkutan DAP Loke Siew Fook yang membolehkan kapal asing melakukan kerja-kerja pembaikan di bawah laut.

Namun, pada bulan November 2020, Wee Ka Siong membatalkan pengecualian untuk kerja pembaikan kabel dasar laut, dan menolak dakwaan bahawa ia akan mempengaruhi pelaburan.

Rais menyalahkan pembatalan pengecualian kabotaj oleh Wee yang menyebabkan Malaysia telah diketepikan oleh Facebook dan Google.

Rais juga membantah keras dakwaan Wee bahawa Malaysia dilangkau dalam beberapa projek kabel bawah laut kerana tidak memiliki infrastruktur pusat data yang sesuai.

Rais meminta Wee memeriksa fakta dahulu dan tidak pasti jika Wee tahu berapa banyak pusat data sudah ada di Malaysia sejak pertengahan tahun 90an?

Masalah utama bagi Malaysia sekarang, kata Guan Eng sama ada Wee bersedia bertaubat dengan mengakui kegagalannya dan menukar semula dasarnya yang gagal demi menyelamatkan pelaburan berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion yang disebut oleh Rais atau pelaburan digital lain yang kritikal.

“Malaysia tidak mampu menanggung kerugian yang disebabkan kedegilan dan keengganan Wee untuk bertindak dengan waras,” ujarnya.

Satu lagi tamparan besar bagi ekonomi digital kita bila mana IBM akan menutup Pusat Penyampaian Global untuk teknologi maklumat (IT) bernilai RM1 bilion di Cyberjaya pada akhir Mei, dengan mengakibatkan kehilangan 1,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Adakah Wee sama seperti Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang tidak kisah dengan kehilangan FDI sebesar itu, terutamanya apabila Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah melaporkan bahawa aliran masuk pelaburan asing ke Malaysia turun sebanyak 68% kepada USD2.5 bilion tahun lalu, peratusan penurunan terburuk di ASEAN?” soalnya.