Malaysia Dateline

Wee Ka Siong dicabar jelaskan pembohongan terhadap kerajaan P. Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong supaya memberikan jawapan terhadap pembohongan yang dilakukannya terhadap kerajaan negeri itu.

Wee Ka Siong sebelum ini mendakwa kononnya dokumen perjanjian yang dimeterai kerajaan negeri dengan kontraktor utama, China Railway Construction Corporation (CRCC) tidak dicop sah (stamping).

Ia adalah berhubung projek lebuh raya dan terowong bawah laut di negeri tersebut.

“Saya telah tunjukkan bukti bahawa dokumen tersebut dicop sah, oleh itu saya cabar dia (Wee Ka Siong) jawab kenapa dia berbohong menyatakan dokumen terbabit tidak dicop sah.

“Namun sehingga kehari ini dia tidak menjawabnya.

“Saya harap beliau jangan lari atau cuba elak untuk menjawab pembohongan ini.

“Jawablah,” kata beliau dalam satu sidang media semalam.

Dalam sidang media sebelum ini, Guan Eng menegaskan berkali-kali bahawa segala dokumen perjanjian berhubung projek pembinaan tiga lebuh raya dan terowong dasar laut Pulau Pinang dilaksanakan secara tender terbuka dan segalanya dicopsahkan.

Menurut Guan Eng, Ka Siong berkata demikian barangkali untuk menyatakan bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak boleh membuat apa-apa tuntutan daripada kontraktor utama itu yang merupakan antara syarikat pembinaan yang terbesar di dunia.