Malaysia Dateline

akaun media sosial palsu

WhatsApp, FB dan Instagram tergendala

Jutaan pengguna platform laman sosial Facebook termasuk WhatsApp, Messenger dan Instagram gagal melayari laman-laman tersebut sejak kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Menurut laman web yang memantau masalah berkaitan internet, Downdetector.com, lebih 40,000 pengguna ketiga-tiga perkhidmatan itu telah mengemukakan aduan berhubung gangguan tersebut.

Mengikut perangkaan awal, sebanyak 43 peratus pengguna menghadapi masalah itu dan 27 peratus pengguna tidak dapat menghantar mesej menerusi aplikasi terbabit.

Ekoran itu, ramai pengguna beralih ke Twitter berkongsikan reaksi mereka berhubung gangguan tersebut.

Sementara itu, Facebook dalam kenyataan di Twitter memaklumkan, pihaknya kini sedang berusaha mengatasi masalah itu.

“Kami menyedari bahawa beberapa pengguna menghadapi masalah untuk mengakses aplikasi dan produk kami.

“Kami berusaha untuk memulihkan keadaan secepat mungkin, dan kami mohon maaf atas kesulitan ini,” kata ciapan itu.

Sehingga pagi ini, pengguna platform laman sosial masih sedang menghadapi masalah sama dan tidak dapat untuk menerima suapan baharu.

Aplikasi WhatsApp, Messenger dan Instagram dimiliki Facebook. Gangguan sama terhadap kesemua laman media sosial terbabit pernah berlaku hampir seluruh dunia pada April 2019 akibat masalah teknikal.

Sebelum itu, pada Mac 2019, Facebook mengalami gangguan lebih lama lebih 24 jam apabila sebahagian besar pengguna berdepan masalah untuk melayari laman itu, Instagram dan WhatsApp.