Malaysia Dateline

Wilayah bebas berniaga: Teresa bidas Zuraida anggap tidak layak jadi menteri

Zuraida Kamaruddin dibidas tidak layak memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selepas tindakannya yang seolah-olah menggalakkan orang ramai mencabuli peraturan kerajaan tempatan menerusi inisiatif wilayah bebas berniaga.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, tindakan Zuraida menunjukkan Menteri KPKT itu sebenarnya tidak sedar tentang masalah penjaja tanpa lesen yang melanggar undang-undang di banyak tempat di Kuala Lumpur.

Malah katanya, isu penjaja tanpa lesen yang berniaga di tempat tidak sesuai, sudah menjadi masalah yang sangat susah ditangani oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Ahli Parlimen di Kuala Lumpur selama ini.

“Pengumuman yang dibuat Menteri Wilayah Persekutuan akan menjadikan masalah ini lebih rumit dan mewujudkan lebih pergaduhan dan masalah selepas ini.

“Kenyataan itu menunjukkan beliau tidak layak memegang jawatan Menteri yang menjaga kerajaan tempatan kerana menggalakkan keadaan tidak teratur dengan tidak mematuhi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden PKR yang dipecat itu mempertikai tindakan Kok yang mempersoalkan inisiatif wilayah bebas berniaga.

Zuraida berkata, Kok seolah-olah tidak prihatin dengan nasib peniaga kecil yang terjejas teruk ketika ini dan penjaja tidak sepatutnya dipersendakan kerana ia membabitkan mata pencarian mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP tersebut berkata, kerajaan harus membantu golongan miskin dengan mewujudkan lebih banyak pusat penjaja, pasar pagi atau pasar malam di tempat sesuai.

“Bukan menggalakkan orang ramai mencabuli peraturan kerajaan tempatan dengan membuka gerai dan bebas berniaga di mana-mana tempat di Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Jelas Kok, wilayah bebas berniaga bukan sahaja akan mewujudkan masalah trafik, tetapi akan mewujudkan pergaduhan di antara penduduk dan penjaja berkenaan yang akan menjadikan bandaraya Kuala Lumpur kucar-kacir.