Malaysia Dateline

Wilayah Persekutuan akan ambil tindakan kuil tidak berdaftar

Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kewujudan kuil yang tidak didaftarkan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, pihak kerajaan perlu berbuat demikian kerana kerajaan pada masa ini tidak tahu status tempat ibadat penganut Hindu itu.

“Apa yang berlaku pada hari ini ialah kita tidak tahu status dan kedudukan kuil yang sudah dibina, malah ada kawasan yang banyak kuil tetapi kita tidak tahu kewujudannya.

“Sekiranya tidak didaftarkan dan tidak ada sesiapa bertanggungjawab atas kuil itu, kami akan ambil tindakan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati @Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Dr Shahruddin mengingatkan kuil di Wilayah Persekutuan perlu berdaftar dengan DBKL bagi mengenal pasti status kuil berkenaan.

Menurutnya, langkah itu bagi memudahkan DBKL mengambil tindakan ke atas kuil yang tidak berdaftar.

“Kita sudah meminta semua kuil yang ada di Wilayah Persekutuan didaftarkan supaya nanti kita tahu apa status kuil itu,” tegasnya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, dilapor berkata peraturan dan undang-undang mengenai pembinaan rumah ibadat akan diseragamkan menerusi dasar kebangsaan yang bakal diwujudkan.

Beliau berkata penyeragaman itu perlu bagi melaksanakan arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memutuskan pembinaan rumah ibadat baharu perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini, kekecohan ekstremis di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor menyaksikan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akhirnya meninggal dunia pada 17 Disember lalu selepas 21 hari bertarung nyawa akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan ganas itu.

Sehubungan itu, banyak pihak mengingatkan kerajaan supaya bertegas menguatkuasakan peraturan berkaitan operasi tempat ibadat bagi mengelakkan masalah pemilikan tanah dieksploitasi menjadi isu kaum dan agama.