Malaysia Dateline

Wilayah Persekutuan akan pastikan kebajikan atlet sukan terbela dan dihargai

Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini mengumumkan kementerian itu akan memastikan kebajikan atlet di Wilayah Persekutuan terbela dan dihargai kerana sumbangan mereka kepada negeri dan negara dalam bidang sukan.

Justeru buat pertama kalinya Kementerian Wilayah Persekutuan menghargai sumbangan atlet bina badan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang pernah merangkul gelaran Mr Asia tiga kali berturut-turut ( 2016-2018) dan Mr Universe pada Kejohanan Bina Badan Dunia dan Sukan Fizik empat tahun berturut-turut (2015-2018).

Ini kerana nasib atlet bina badan kelahiran Kuala Lumpur ini tidak seindah yang dimimpikan setelah merangkul anugerah  juara sukan bina badan bertaraf dunia, apabila beliau masih tidak mempunyai rumah dan menumpang tinggal bersama keluarga di rumah rakannya.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, sebelum ini Mohamad Syarul tidak pernah mendapat sebarang pengiktirafan dan sumbangan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan.

Namun apabila atlet itu datang ke kementerian bersama pihak dari Majlis Sukan Negara (MSN), kementerian terpanggil untuk membantu atlet berkenaan.

” Kita telah berjaya mendapatkan beliau sebuah rumah (apartment)  sumbangan daripada pemaju Aset Kayamas di Bukit Jalil yang kini sudah siap dibina.

“Kita mahu memberi sokongan kepada atlet dari Wilayah Persekutuan yang telah berjaya mengharumkan negeri dan negara.

“Satu pencapaian luar biasa memang wajar dikagumi dan dibanggakan. Walaupun bukan merupakan antara kategori yang dianggap sebagai kategori utama namun ia tetap merupakan kejuaraan peringkat dunia yang diiktiraf,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen hari ini.

Khaled Abdul Samad (dua dari kanan) menunjukkan rumah yang bakal di duduki oleh Mohd Syahrul Azman di Residensi Jalil Mas.Turut bersama wakil dari MSN dan Aset Kayamas Sdn Bhd.

Difahamkan Mohd Syahrul akan menerima  sebuah rumah berharga RM244,000 di Residensi Jalil Mas dengan kelengkapan dalaman yang telah diubahsuai oleh Aset Kayamas dan dijangka penyerahan kunci kepada Mohd Shahrul akan dilakukan pada 8 April depan.

Menurut Khalid lagi kementeriannya amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh syarikat pemaju Aset Kayamas  Sdn Bhd yang menaja sebuah rumah untuk atlet Wilayah Persekutuan.

“Saya nak ucapkan terima kaseh kepada Aset Kayamas melalui anugerah dan pemberian ini, akan  menjadi satu dorongan bukan sahaja kepada saudara Shahrul tetapi kepada atlet Wilayah Persekutuan yang lain.

“Kita berjanji mana-mana atlet jika mereka mencapai tahap kejuaraan peringkat dunia kita akan beri rumah mampu milik kepada mereka.

“Jika pencapaian kurang daripada itu kita akan fikirkan hadiah atau anugerah yang lain sebagai dorongan kepada atlet di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Mohd Syarul,46, atau mesra dipanggil  Mike  dalam sidang media sama turut mengucapkan penghargaan kepada keperihatinan semua penyumbang  kerana menghargai  di atas usaha yang dilakukannya selama ini dalam sukan bina badan.

“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada MSN, KBS, Aset KayaMas dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Saya harap ini (sumbangan) akan beri semangat untuk saya buat lebih baik untuk negara dan memberi semangat kepada atlet remaja lain,” ujarnya ringkas.