Wilayah serahkan RM887,600 insentif atlit Sukma 2018

Pasukan Futsal lelaki dan wanita yang mendapat emas untuk Wilayah Persekutuan antara yang mendapat insentif paling besar iaitu RM132,000.

Wilayah Persekutuan telah menyerahkan insentif berjumlah RM887,600 kepada para atlitnya yang telah berjaya mengharumkan namanya dalam Sukan Malaysia (Sukma) bulan lalu.

Insentif itu di sampaikan kepada atlit terbabit oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dalam majlis penghargaan dan penyerahan insentif Sukma XIX Perak 2018 malam tadi.

Dalam temasya sukan itu, kontinjen Wilayah Persekutuan telah menduduki tempat kedua di belakang Terengganu daripada 15 Kontinjen dengan pungutan pingat sebanyak 52 emas, 38 Perak dan 50 gangsa.

“Hanya empat (4) pingat emas sahaja yang membezakan kedudukan antara Kontinjen Wilayah Persekutuan dengan juara keseluruhan iaitu Terengganu,” kata Khalid dalam ucapannya malam tadi.

Penyumbang terbesar pingat bagi Kontinjen Wilayah Persekutuan adalah menerusi sukan Akuatik Renang apabila berjaya memungut sebanyak 17 pingat (6 emas, 6 perak, 5 gangsa) diikuti sukan Angkat Berat iaitu 14 pingat (9 emas, 1 perak, 4 gangsa) dan sukan Karate sebanyak 11 pingat (5 emas, 2 perak, 4 gangsa).

Lebih membanggakan, katanya, apabila atlet Wilayah Persekutuan telah berjaya memecahkan tujuh (7) rekod baru Sukma dan memperbaharui satu (1) rekod Kebangsaan pada Sukma kali ini menerusi sukan Angkat Berat, Menembak, Renang dan Olahraga.

“Saya dimaklumkan bahawa pencapaian ini merupakan antara yang terbaik Kontinjen Wilayah Persekutuan dalam sejarah penyertaan ke Sukma.

“Kejayaan ini telah membuktikan bahawa Kontinjen Wilayah Persekutuan sememangnya mempunyai atlet yang berbakat dan berpotensi untuk memberi kejayaan bukan sahaja kepada Wilayah Persekutuan malah kepada negara,” katanya.

Setiap atlet Wilayah Persekutuan yang telah menyumbang pingat emas akan menerima insentif berjumlah RM5,000 bagi acara individu dan RM4,000 bagi acara berpasukan.

Seterusnya penyumbang pingat perak bagi acara individu pula akan menerima insentif berjumlah RM1,500 dan RM1,000 bagi acara berpasukan.

Manakala bagi pingat gangsa acara individu akan menerima insentif berjumlah RM1,000 dan RM800 bagi acara berpasukan.

Selain itu, setiap atlet yang berjaya memecahkan rekod Sukma juga akan menerima insentif tambahan berjumlah RM500 manakala RM1,000 bagi rekod Kebangsaan.

Pada majlis malam tadi juga, pihak Kementerian dan MSWP memberikan insentif kepada atlet-atlet Wilayah Persekutuan yang telah mengharumkan nama Malaysia di Sukan Komenwel, Sukan Asia dan Sukan Para Asia.