Malaysia Dateline

Willie pertikai penyukatan tanah NCR oleh pemimpin GPS

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin mempersoalkan kepimpinan negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mengurus peruntukan RM170 juta bagi menjalankan kerja -kerja perimeter penyukatan tanah adat atau Native Customary Right (NCR) di negeri ini.

Katanya, sejak 2010,Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan bagi tujuan khusus menjalankan kerja-kerja penyukatan namun hasilnya kurang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Rakyat biasa khususnya kaum Dayak yang selama ini bertahun-tahun telah menunggu Kerajaan Negeri Sarawak untuk menyukat tanah NCR keluarga mereka di bawah Sektor 18 Kanun Tanah Sarawak kurang mendapat manfaat daripada peruntukan dari Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

“Sebagai contoh kes tanah NCR kaum Bidayuh. Pada tahun 2007, masyarakat Dayak Bidayuh melalui Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) memulakan inisiatif Dokumentasi Tanah NCR untuk mendokumenkan semua tanah NCR dengan harapan kerajaan negeri dapat mengeluarkan Geran tanah individu di bawah seksyen 18, Kod Tanah Sarawak.

“Keseluruhan kos yang terlibat dalam inisiatif ini dibayar secara individu oleh pemilik tanah itu sendiri,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuching hari ini.

Menurut Willie, dilaporkan sekurang-kurangnya 400 buah kampung Bidayuh telah menyertai inisiatif dokumentasi Tanah Adat sejak 2007.

Bagaimanapun, katanya, pada 11 Februari 2019,Temeggong Bidayuh untuk Bahagian Kuching Encik Austin Dimin menyatakan bahawa sebanyak 400 kampung yang telah didokumentasi hanya 10 buah kampung sahaja yang telah diberi geran tanah individu sekaki gus jumlah itu hanya 2.5% dilaksanakan.

Jelasnya, daripada ekstrak Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak, setakat ini hanya dua buah kampung di kawasan Parlimen Puncak Borneo di bawah inisiatif baru ini dikeluarkan Geran Tanah Individu, iaitu Kampung Pisa, Krokong dan Kpg Skuduk, Tarat.

“Persoalan yang saya ingin ajukan kepada Kerajaan Negeri Sarawak, kenapa sehingga kini diperuntukan RM170 juta oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyukat tanah adat tetapi jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan adalah minimum memandangkan masyarakat Bidayuh telah membayar sebahagian besar perbelanjaan kos yang berkaitan dengan kerja–kerja penyukatan dan dokumentasi tanah adat mereka.

” Selain itu, kenapa Kerajaan GPS Sarawak masih melengah– lengahkan kerja kerja untuk menyukat dan pengeluaran geran tanah individu di bawah sekyen 18 di kalangan Bidayuh dan masyarakat Dayak umumnya? Adakah ini taktik mereka untuk memancing undi di kalangan masyarakat Dayak di Sarawak,” tambahnya.

Katanya lagi, masyarakat Dayak di Sarawak bukan sahaja kurang mendapat manfaat daripada peruntukan dari Kerajaan Persekutuan tetapi mereka juga diekploitasi dengan tindakan kerajaan negeri menyukat tanah adat dalam seksyen 6 dan bukannya di bawah seksyen 18.

“Ya benar, mereka mengatakan bahawa akan mengeluarkan seksyen 18 selepas, seksyen 6. Tetapi persoalanya apakah “time frame” pengeluaran itu? Adakan satu bulan? Dua bulan atau ratusan tahun,” ujanya.

Jelas Willie, pada suku pertama 2011, kira-kira tiga bulan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, pengeluaran Geran Tanah berlaku di dua lokasi iaitu melibatkan 11 kampung Melayu di Kuching dan sebuah lagi kampung Bidayuh di Daerah Bau.

Manakala pada Mac 2014, sepanjang tempoh kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian sejumlah 44,860 Geran untuk kampung-kampung di Balingian dan Mukah dikeluarkan.

Justeru Mac 2016, beberapa bulan sebelum PRN Sarawak 2016, penduduk Kampung Kudei Baru dan Kampung Tebingan Sungei Bintangor Besar di Kuching menerima 302 hak milik tanah mereka.

Selepas itu, pada Mei 2018, hanya beberapa hari sebelum menjelang PRU14, penduduk Kampung Parang, Kota Samarahan diberi geran tanah mereka.

Tambahnya, Sejak 29 Jun 2019, terdapat dua kes pengeluaran Geran Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang dikeluarkan iaitu satu di Kampung Pinchin di Serian dan yang lain di Kampung Kudei di Kuching ketika di ambang PRN Sarawak ke 12.

“Dilaporkan dalam akhbar The Borneo Borneo pada 19 Jun 2018 bahawa kerajaan negeti mempunyai rizab sebanyak RM31 bilion yang mana menurut Timbalan Ketua Menteri Dr. James Masing menyarankan supaya menggunakan seluruh rizab untuk tujuan pembangunan sebelum PRN akan datang yang bakal diadakan selewat-lewatnya 2021.

“Oleh itu saya minta supaya Kerajaan GPS Sarawak menggunakan sebahagian daripada rizab itu untuk membayar kos penyukatan dan mengeluarkan geran tanah individu di bawah seksyen 18 kerana tadbir urus tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri,” ujarnya.