
Wira Putra dakwa dana RM4 juta untuk Tg Piai, rasuah mahu beli undi rakyat
Pergerakan Wira Putra Malaysia mendakwa pengumuman kerajaan yang meluluskan peruntukan sebanyak RM4 Juta bagi menaiktaraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, sebagai kempen rasuah untuk membeli undi rakyat.
Ketua Penajanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, tindakan mengumumkan peruntukan di ambang Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu ibarat mengulangi amalan kerajaan dahulu yang pernah dianggap sebagai rasuah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Wira Putra melihat tindakan ini tidak lain tidak bukan hanya untuk membeli undi di Tanjung Piai.
“Tembok amalan rasuah yang dikatakan menjadi amalan Umno dahulu yang ingin dipecahkannya kini dibina buat dirinya sendiri pula.
“Tindakan mengumumkan peruntukkan di ambang PRK ini saling tak tumpah seperti yang berlaku sebelum PH mengambil alih kerajaan yang juga turut ditentang habis-habisan oleh YB Syed Saddiq dahulu.
“Pengulangan ini ibarat paku dulang paku serpih, kata orang Syed Saddiq yang lebih,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Nasrul, tindakan Menteri Belia dan Sukan itu yang menggunakan nama Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, adalah sebagai alasan untuk menghalalkan tindakannya.
Beliau turut mempersoalkan pengumuman Syed Saddiq yang meluluskan modal peruntukan yang sudah hampir ke penghujung tahun.
“Dengan pengumuman yang dibuat, jelas menunjukkan sebelum ini Syed Saddiq tidak berminat langsung dan tidak mahu membangunkan kemudahan pusat rekreasi di Tanjung Piai.
“Sudah hampir hujung tahun baru nak diumumkan peruntukan tersebut. Selepas Allahyarham Dr Farid meninggal dunia, barulah peruntukan diluluskan sebagai modal politik mendapatkan undi rakyat Parlimen Tanjung Piai.
“Jadi adakah ini penunaian janji atau rasuah demi undi?” soalnya.
Sementara itu, Wira Putra turut menggesa pihak berkuasa untuk menahan individu yang dipercayai terlibat dengan penyebaran komik propaganda agar disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Wira Putra mengecam tindakan penyebaran dakyah yang melanggar peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Ideologi ektremis anti-Islam ini akan memberi kesan kepada golongan muda yang mindanya masih bersih, suci dan mudah menerima segala perkara baharu sekiranya ia tidak dibendung dari awal,” ujarnya.