Wira Putra serah memorandum haramkan Dong Zong

Wira Putra serah memorandum haramkan Dong Zong

Wira Putra Malaysia hari ini menyerahkan memorandum menggesa kerajaan mengharamkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang dilihat terus menentang dasar-dasar nasional sehingga menggugat ketenteraman rakyat Malaysia.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, memorandum serta laporan polis dibuat terhadap pertubuhan itu susulan kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri baru-baru ini bahawa Dong Zong sebuah pertubuhan rasis.

Katanya, desakan juga dibuat untuk menggesa kerajaan agar menarik semula bantuan peruntukan sekolah yang diberikan kepada Dong Zong.

“Kami dah buat laporan polis agar Dong Zong diharamkan, malah memorandum ini sebagai satu tujuan formaliti bagi menguji ketegasan dan keikhlasan kerajaan menangani isu tulisan Jawi kerana yang buat kenyataan rasis adalah Tun Dr Mahathir.

“Dong Zong telah membuat kenyataan berbaur perkauman dan penghinaan terhadap penganut agama Islam. Mereka bertindak menghasut hingga membangkitkan salah faham terhadap penganut bukan Islam.

“Tambah pula, mereka mengalu-alukan dan mengesyor gerakan provokasi serta fahaman super ekstrimis ynag bersifat ultra kiasu demi kepentingan sendiri dan membelakangkan semangat nasionalisme yang telah diamalkan dalam sistem pentadbiran negara sejak dari zaman kemerdekaan lagi,” katanya.

 

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum haramkan Dong Zong di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini

Memorandum tersebut diserahkan kepada Komunikasi Korporat Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Othman Siru yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambah Nasrul, pertubuhan gabungan cina itu wajib diharamkan kerana pemikiran ekstrimis yang memberi gambaran serta interpretasi palsu kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, Dong Zong juga didapati mengelirukan rakyat Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan niat asal yang diketengahkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Wira Putra berpendirian Dong Zong wajib diharamkan dengan segera sebelum lebih banyak kerosakan dan perpecahan serius antara rakyat Malaysia.

“Kami berharap KDN mengambil tindakan mengharamkan Dong Zong. Mana-mana badan bukan kerajaan atau parti politik yang cuba melindungi tindakan menggugat keharmonian negara ini juga perlu diambil tindakan undang-undang sekerasnya kerana turut bersubahat,” ujarnya.