Malaysia Dateline

Wiranita Perkasa desak Peguam Negara letak jawatan kes Adib

Wiranita Perkasa Malaysia hari ini mendesak agar Peguam Negara, Tommy Thomas meletakkan jawatan susulan tindakan campur tangan peguam tersebut dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketuanya, Foziah Datuk Nawawi mempersoalkan tindakan Thomas yang mengeluarkan afidavit mengatakan kematian Adib bukan sebab dipukul mana-mana pihak sedangkan prosiding inkues masih belum selesai.
“Kenapa Peguam Negara mendahului inkues yang sedang berjalan dan belum lagi membuat sebarang ketetapan?
“Kami memandang serius dakwaan peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga Adib mengenai campur tangan Peguam Negara dalam prosiding inkues kes Allahyarham Muhammad Adib.
“Syazlin mendakwa campur tangan itu bermula selepas dia membawa saksi pakar memberi keterangan bahawa Adib mungkin diserang semasa rusuhan kuil Seafield, November 2018. Bayangkan, apa yang berlaku jika ada orang bukan Melayu iaitu Cina dan India yang meninggal dunia. Pastinya akan riuh sekampung!,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau juga memandang serius tentang keengganan pihak Kuil Sri Marayaman yang masih ingkar dengan perintah mahkamah untuk memindahkan kuil tersebut walaupun telah menerima pampasan sebanyak RM1.5 juta.
Tambahnya, lebih menambahkan konflik apabila Ahmad Soffian Mohd Shariff, bekas setiausaha akhbar (SUA) Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), melepaskan jawatannya susulan hilang kepercayaan terhadap kerajaan sedia ada hari ini.
Ahmad Soffian dilaporkan berkata bahawa keputusan kerajaan untuk menggugurkan isterinya, peguam Syazlin Mansor, dari inkues Muhammad Adib mempengaruhi keputusannya untuk melepaskan jawatannya.
“Oleh yang demikian, Wiranita Perkasa sekali lagi mendesak kerajaan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kematian Allahyarham Muhammad.
“Kami juga menuntut RCI Adib demi keadilan dan juga mengembalikan kepercayaan rakyat. Kerajaan patut melantik mereka yang benar-benar pakar dan layak untuk mengendalikan RCI ini,” ujarnya.