WISeKey, Cendee umum usaha sama untuk peluas perlindungan keselamatan siber

WISeKey, Cendee umum usaha sama untuk peluas perlindungan keselamatan siber

WISeKey International Holding Ltd mengumumkan usaha sama strategiknya dengan Cendee Sdn Bhd, bagi mengoperasikan platform menegak keselamatan siber WISeKey dan sistem lejar digital terbuka (blockchain), bagi menangani infrastruktur utama awam  (PKI), Objek Rangkaian Internet  (IoT) dan peluang lejar digital terbuka bagi projek yang dikenal pasti merentas ekosistem pelanggan Censof Holdings Bhd.

WISeKey ialah syarikat platform keselamatan siber IoT, manakala Cendee ialah anak syarikat Censof.

Dalam kenyataan bersama hari ini, ia berkata  usaha sama itu bakal menyaksikan penubuhan Pusat Kecemerlangan di Malaysia bagi menyokong pewujudan ‘Lejar Digital Terbuka Dipercayai sebagai Platform Perkhidmatan” khusus.

“Inisiatif ini akan membantu memudahkan dan menyediakan penyelesaian lejar digital terbuka bersepadu yang mudah bagi institusi kewangan, korporat, pengawal selia dan kerajaan.

“Kejayaan pertama ialah apabila kedua-dua pihak sudah mengoperasikan  ‘WISeKey Malaysian Root of Trust (RoT) tempatan’, langkah kritikal bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan Lejar Digital Terbuka di Malaysia,” katanya.

Usaha sama ini juga akan melengkapkan dan meluaskan keupayaan Cendee dalam menangani keperluanuntuk mengenal pasti projek di pelbagai kawasan bersama entiti pilihan kerajaan di Malaysia.

“Perjanjian ini membolehkan Censof, khususnya Cendee, untuk memanfaatkan kepakaran keselamatan siber dan lejar digital terbuka masing-masing, dengan menggabungkan portfolio luas keselamatan siber WISeKey’ dan mengukuhkan penawaran Censof dalam kalangan kerajaan dan pelanggan perusahaan,” kata naib presiden usaha sama dan sekutu korporat WISeKey Carlos Moreno.

Pengarah urusan kumpulan Censof Ameer Shaik Mydin berkata potensi manfaat lejar digital terbuka akan membantu ia memacu kecekapan pelanggannya.

“Usaha sama ini merupakan satu lagi contoh komitmen berterusan kami dalam inovasi baharu kewangan untuk penambahbaikan perniagaan,” katanya.

— BERNAMA