Isu arak Timah, kelihatan seperti adanya pimpinan Pas yang tersentak atau terasa dengan perkara ini seolah-olah menjadikan mereka setaraf dengan MCA dan MIC.
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, sebetulnya terdapat pemimpin Pas yang pernah mendakwa rasuah tidak meruntuhkan sesebuah negara, tetapi tidak solat boleh meruntuhkan negara.
“Ini membawa pengertian perkara yang berkaitan secara langsung dengan Islam sudah pasti akan mendapat tempat utama bagi Pas, termasuklah arak, judi mahu pun zina.
“Kita tidak harus lupa sebelum ini pemimpin Pas begitu marah apabila Menteri Agama Pakatan Harapan (PH) mengatakan bahawa tidak boleh mengendap pasangan yang masuk hotel di mana pada pandangan pemimpin Pas ia dikatakan mempunyai kaitan dengan zina.
“Pimpinan Pas juga pernah mengecam keras ‘Oktober fest’ dan kilang arak Carlsberg sehinggakan ada yang membuat demo bantahan suatu ketika dulu,” ujar beliau ketika dihubungi.
Kini tegas Dr Zaidi, arak wiski Timah yang mana 40 peratus adalah alkohol hasil produk kilang Malaysia (BMF) yang telah berjaya dihasilkan dan lebih hebat lagi apabila ianya mendapat pengiktirafan antarabangsa
Sehubungan itu katanya, rakyat mulai menghala ‘troll’ mereka kepada Pas walaupun bukan Pas yang membuat kilang wiski, bukan juga Pas yang meluluskan cabutan judi 22 kali setahun.
Namun begitu, katanya Pas adalah parti yang memerintah kerajaan Pusat.
Malah tegas beliau, segala keputusan Kerajaan Pusat termasuklah dosa dan pahalanya ditanggung bersama, dikongsi dan ada saham di dalamnya.
Tambahnya, apabila Pas menjadi ‘setan bisu’ atau nahi mungkar ke laut isu judi 22 kali, wiski Timah yang punya 40 peratus alkohol serta tidak lagi bersungguh-sungguh seperti RUU 355, akhirnya Pas meletakkan dirinya setaraf dan tiada beza dengan MCA maupun MIC.
Oleh kerana itu saran beliau, Pas sepatutnya sudah kembali ke pangkal jalan.