Malaysia Dateline

Wisma Darul Iman ditutup kerana kes Covid 19

Wisma Darul Iman ditutup selama tiga hari bermula semalam selepas salah seorang pegawainya dikesan mempunyai kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menerusi satu notis yang dikeluarkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zahari Md Azaha berkata lebih 500 pegawai dan kakitangannya diarah melaksanakan kerja dari rumah selama tiga hari bermula semalam.

Beliau berkata, penutupan sementara itu bagi membolehkan proses disinfeksi dilakukan di keseluruhan bangunan berkenaan.

“Semua kakitangan mestilah berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh bekerja dari rumah ini dan dikehendaki kembali bertugas seperti biasa mulai Ahad ini, 11 Oktober,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Permata yang beroperasi di Wisma Darul Iman turut ditutup sementara selama tiga hari.

“Ia membabitkan kira-kira 60 kanak-kanak yang ibu bapa mereka adalah kakitangan di Wisma Darul Iman,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.