Malaysia Dateline

Wisma putra

Wisma Putra harap dapat lebih peruntukan dalam Belanjawan 2020

Kementerian Luar berharap diberi peruntukan lebih dalam Belanjawan 2020 agar dapat melahirkan lebih ramai pegawai diplomat bertaraf dunia serta memperkasakan Wisma Putra secara keseluruhan, kata menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Wisma Putra, katanya, akan memanfaatkan peruntukan itu bagi memperluaskan program pensarjanaan para diplomatnya melalui kerjasama dengan universiti awam tempatan untuk mereka melanjutkan pengajian secara separuh masa di peringkat doktor falsafah (PhD) dan sarjana.

Wisma Putra mempunyai kira-kira 500 pegawai ketika ini dan daripada jumlah itu, hanya antara lima dan tujuh pegawai sahaja yang mempunyai PhD, katanya.

“Kita perlu tingkatkan nisbahnya bagi menambah bilangan diplomat yang pakar dalam lain-lain bidang,” katanya ketika sesi bersama media, pada Khamis.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2019 pada tahun lalu, kementerian itu menerima peruntukan hampir RM800 juta.

Dengan peruntukan tambahan, Saifuddin berkata Wisma Putra mahu meningkatkan kebajikan pegawainya di luar negara di mana selain hal elaun dan insentif, keutamaan juga perlu diberikan untuk penyelenggaraan rumah atau kuarters pegawai yang rosak serta kenderaan kegunaan diplomat.

“Perkara-perkara ini mungkin kelihatan remeh tetapi perlu diselesaikan segera kerana ia boleh menjejaskan fokus kerja pegawai,” katanya.

Saifuddin menarik perhatian bahawa pihaknya pernah disaman di Perancis disebabkan rumah yang didiami pegawai bocor dan menyebabkan air memasuki rumah orang lain.

Saifuddin berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berhubung keperluan untuk mendapatkan peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2020 itu.

— BERNAMA