Malaysia Dateline

Wisma Putra sahkan 47 tahanan Malaysia di Kemboja dibebaskan

Wisma Putra mengesahkan kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey dibebaskan pada 6.30 petang waktu Kemboja (7.30 malam waktu Malaysia).

Wisma Putra bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sarawak dan pihak berkuasa Kemboja untuk mengatur perjalanan pulang kesemua tahanan dengan segera.

Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan Timbalan Perdana Menteri Kemboja yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Prak Sokhonn untuk perhatian peribadi yang diberikan mengenai perkara itu, menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini.

“Malaysia juga ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Kanan (Misi Khas), Menteri Dalam Negeri, Menteri Kehakiman dan semua pihak berkuasa Kemboja yang telah menghulurkan kerjasama bagi pembebasan 47 warga Malaysia.

“Kementerian juga menghargai kerjasama erat yang diberikan oleh Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan kerajaan negeri Sarawak, yang telah membawa kepada pembebasan awal rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Susulan insiden itu, kementerian mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya berhati-hati terhadap peluang pekerjaan yang ditawarkan di negara asing dan sentiasa mengesahkan dengan bakal majikan.

“Rakyat Malaysia harus sentiasa waspada serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara asing yang mereka lawati,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Bernama melaporkan kesemua 47 tahanan rakyat Malaysia itu dibebaskan hari ini selepas beberapa rundingan diadakan antara pegawai kedua-dua negara.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen meluluskan pembebasan itu setelah mendapati mereka ditipu sindiket agensi pekerjaan.