Malaysia Dateline

Wisma Putra sahkan Muhammad Haziq antara 50 mangsa yang maut dalam kejadian tembakan di Chrischurch

Wisma Putra dalam kenyataan awal pagi ini memaklumkan salah seorang rakyat Malaysia yang hilang dalam kejadian tembakan di sebuah masjid di Chrischurch Jumaat lepas disahkan telah meninggal dunia.

“Dengan kesedihan yang mendalam dan dengan persetujuan daripada  keluarga, Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa Muhammad Haziq bin Mohd Tarmizi, 17 adalah antara 50 mangsa yang kehilangan nyawa dalam kejadian tragis tembakan di Christchurch.

“Beliau adalah anak kepada Mohd Tarmizi Shuib yang juga cedera apabila serangan itu berlaku. Lain-lain rakyat Malaysia yang cedera adalah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan memberikan bantuan kepada keluarga dalam proses pengkebumian,” ujar kenyataan itu

Wisma Putra turut memaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof akan ke Christchurch untuk mewakili kerajaan dalam memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian tragis ini.

Muhammad  Haziq merupakan anak kepada Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, selepas cedera ditembak dalam kejadian di Masjid Al Noor.

Seorang lagi anak Mohd Tarmizi, Mohd Haris, 12, masih menerima rawatan di hospital kanak-kanak di Christchurch akibat trauma susulan insiden itu.

Kementerian Luar  juga dalam kenyataan itu,  merayu  media dan orang ramai untuk menghormati perasaan anggota keluarga dalam tempoh yang sukar ini.