Malaysia Dateline

Wisma Putra usahakan kelulusan bawa pulang dua jenazah dari Lombok

Kementerian Luar sedang mengusahakan kelulusan untuk membawa pulang jasad dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia semalam.

Timbalan Menterinya Datuk Marzuki Yahya berkata  jasad dua wanita berkenaan iaitu Datin Tai Siew Kim dan  Lim Sai Wah masih berada di sebuah hospital di Lombok.

“Jenazah dijangka diterbangkan terus dari Lombok ke Kuala Lumpur dan tidak melalui Jakarta,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran baju dan lagu rasmi Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) di Wisma Putra, di sini hari ini.

Baju dan lagu rasmi Perwakilan itu dilancarkan oleh isteri Menteri Luar Datin Norlin Shamsul Bahri yang juga Penaung Perwakilan.

Selain dua yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, Wisma Putra hari ini turut mengesahkan tujuh mangsa mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Lombok manakala 13 lagi terselamat.

Kesemua 22 warga Malaysia itu dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa berukuran 5.8 pada skala Richter menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 2.07 petang semalam.

Lagu dan baju rasmi Perwakilan dilancarkan di Wisma Putra oleh isteri Menteri Luar Negeri yang juga Penaung Perwakilan, Datin Norlin Shamsul Bahri yang mewakili isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Baju rasmi Perwakilan untuk wanita ialah kebaya labuh dan baju kurung berwarna merah manggis polos yang dipakai bersama kain batik sarung dengan selendang atau tudung hijau zaitun manakala untuk lelaki pula ialah baju batik dengan motif bunga raya dan logo Perwakilan.

Lagu rasmi Perwakilan yang dilancarkan hari ini bertajuk ‘Perwakilan Bersama Anda’.

Perwakilan yang ditubuhkan pada 1978 dianggotai oleh isteri pegawai serta petugas wanita Wisma Putra kini mempunyai 111 cawangan di seluruh dunia dengan lebih 1,500 anggota.