Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mengumumkan penutupan wisma terbesar D’Herbs yang terletak di Seksyen 8, Kota Damansara.
Pengasas produk D’Herbs dengan ‘tagline’ terlajak laris itu berkata, dia berasa sedih tetapi apakan daya bangunan itu terpaksa dilepaskan.
Bagi Aliff, banyak kenangannya bersama pekerja di wisma tersebut kerana wisma itu merupakan saksi kepada jatuh bangun perniagaannya.
Bukan itu sahaja, lokasi yang menarik dan mudah dengan perkhidmatan awam menjadikan dia lebih berat untuk menutup wisma tersebut
“Sedih tapi apakah daya bangunan ini terpaksa dilepaskan. Lokasi Kota Damansara seksyen 8 jalan utama bersebelahan dengan bangunan MPPJ.
“Walau saya tak rela tapi untuk kebaikan bagi mengembangkan perniagaan saya, saya terpaksa juga lepaskan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Usahawan itu berkata, penutupan itu adalah bagi mengembangkan lagi perjalanan perniagaannya lebih-lebih lagi ketika ini produk D’Herbs semakin mendapat kepercayaan ramai.
Dia kini sedang dalam usaha untuk mencari lokasi baharu yang lebih besar seiring dengan pertambahan pekerja dan jumlah stok yang tinggi.
“Banyak cabaran sebagai seorang usahawan ni. Untuk kembangkan perniagaan, kapasiti keluasan pun perlu diambil kira.
“Dulu masa baru pindah di Wisma D’Herbs ini saya rasa cukup besar dah, tak terbayang pula sekarang berkat sokongan kesayangan papa & mama (panggilan untuk Aliff Syukri dan Datin Shahida), kami nak cari lokasi yang lebih besar lagi,” ujarnya.
Aliff juga pada masa sama bersyukur atas sokongan semua pihak kepadanya dan mengalu-alukan pihak yang berminat membeli wisma berkenaan pada harga RM38 juta.
“Permintaan makin banyak, stok makin bertambah, pekerja pun makin bertambah, demi keselesaan dan bagi memudahkan operasi skala besar pada masa akan datang kami bercadang untuk melepaskan wisma sedia ada ini.
“Tag dan share kepada rakan anda yang ingin menjalankan perniagaan yang mencari premis baru untuk beroperasi.
“Untuk belian WhatsApp nombor di poster di bangunan atau manager saya 0123743261 atau +60 12 354 5766 ejen hartanag di alu-alukan,” tulisnya.
Baca juga: Pengemis pasar malam raih pendapatan RM10,000 sebulan