Malaysia Dateline

Wisma Tok Guru: Penolakan injunksi tidak bermakna tuntutan sudah berakhir

Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) Parti AMANAH Negara, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, KANUN mengambil maklum tentang keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi ADUN Salor, Datuk Husam Musa untuk menghalang Pas daripada memasuki kawasan premis Wisma Tok Guru.

Namun demikian kata beliau, KANUN menegaskan bahawa walaupun permohonan injunksi tersebut ditolak, kes induk berkaitan isu ini masih dalam proses Mahkamah dan penolakan permohonan injunksi ini ibarat “kalah pertempuran tapi bukan kalah perang”.

“Hal ini kerana perbicaraan kes saman induk tuntutan Datuk Husam terhadap tanah dan bangunan Wisma Tok Guru tersebut hanya akan bermula pada 4 Disember 2017.

“Sementara perbicaraan tuntutan harta pesaka waris-waris Datuk Rosli Ibrahim terhadap hartanah tersebut pula akan dijalankan pada 7 Januari 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sementara kes induk diputuskan, KANUN memohon supaya penyokong AMANAH untuk bersabar dan berdoa supaya Allah mempermudahkan urusan Datuk Husam dan pasukan peguamnnya.

Sehubungan itu juga katanya, KANUN memberikan amaran kepada semua supaya tidak sesekali cuba untuk mencerobohi bangunan Wisma Tok Guru yang masih sah dalam milik Datuk Husam.