Malaysia Dateline

WKB2030 mampu jadikan Malaysia Harimau Asia baharu, tingkat taraf hidup rakyat

Dalam menyusun semula keutamaan pembangunan negara, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mampu meletakkan Malaysia sebagai Harimau Asia yang baharu dan menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat menjelang 2030, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata, ia memberi nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah.

“Melalui cara itu Malaysia akan mengembalikan kepercayaan kepada pasaran dan pelabur dan mampu meletakkan Malaysia sebagai Harimau Asia yang baharu,” katanya ketika melancarkan wawasan itu di sini.

Dr Mahathir, yang menyifatkan WKB2030 adalah amanah generasi sekarang dan hadiah dan milik anak cucu pada masa hadapan, akan membawa pertumbuhan yang lebih saksama untuk negara.

Beliau berkata, wawasan itu yang menjadi kerangka halatuju negara bagi tempoh 2021 hingga 2030 adalah usaha melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah.

Ia juga bagi rantaian bekalan sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030, katanya.

Perdana Menteri berkata, penyediaan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat menjelang 2030 itu juga selaras dengan matlamat yang didukung oleh United Nations Agenda 2030 untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan.

“Ia pendekatan pembangunan inklusif yang tidak akan meminggirkan sesiapa pun di bawah prinsip tidak seorang pun tercicir,” katanya.