Hari ini MCA dan DAP telah mengumumkan calon bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Balakong di ibu pejabat parti masing-masing.
DAP mencalonkan Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Wong Siew Ki sebagai calon DAP.
Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang telah mengadakan sidang media pengumuman calon parti itu hari ini.
Guan Eng memberitahu media pemilihan Wong sebagai calon PRK Balakong telah disyorkan oleh pemimpin DAP Selangor berdasarkan kerja kerasnya bersama parti selama ini.
“Dia juga membantu kami dalam menghasilkan dan mengarahkan bahan kempen kami untuk pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya 9 Mei baru-baru ini,” ujarnya.
Manakala Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini mengumumkan partinya akan meletakkan seorang ahli perniagaan dan aktivis Tan Chee Teong sebagai calon parti itu.
Ka Siong berkata, keputusan yang diambil parti itu adalah keputusan secara bersama yang dibuat ketika mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada 10 Ogos lalu.
“MCA menampilkan seorang calon yang muda dan bertenaga agar PRK Dun Balakong kita dapat cipta sejarah.
“Kita tahu ini bukan satu rintangan yang mudah, tapi kami akan cuba memperoleh sebanyak undi yang boleh,” katapada sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Dalam PRK Balakong MCA akan mengunakan logo partinya sendiri dan ia telah pun diluluskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tan,40 dilahirkan dan dibesarkan di Balakong seorang ahli perniagaan dan mempunyai seorang isteri dan tiga cahayamata.
Kerusi Balakong kosong selepas Adun dua penggal, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.
Pada PRU-14 Ng Tien Chee mengalahkan calon BN Lim Chin Wah dan calon Pas Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,358 undi.
Dijangkakan PRK Dun Balakong akan berlaku pertandingan dua penjuru antara DAP dan MCA kerana Pas mengambil keputusan tidak meletakkan calonnya di kerusi Balakong.
Hari penamaan jatuh pada 18 Ogos dan pengundian akan diadakan pada 8 September ini.