Wong Siew Ki dari blogger jadi pertaruhan PH di Dun Balakong

Wong Siew Ki dari blogger jadi pertaruhan PH di Dun Balakong

Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakang Wong Siew Ki tidak membenarkan dirinya merasa selesa dalam membantu Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) itu sungguhpun beliau dilihat sebagai calon yang disenangi dalam pertarungan tersebut.

Beliau enggan menumpang populariti PH dan bekas Adun  mendiang Eddie Ng Tien Chee untuk menang di kerusi itu.

“Saya tidak mengambil mudah, sungguhpun saya tinggal di Serdang dan agak biasa dengan tempat ini. Saya bekerja keras menemui rakyat di sini dan cuba menarik mereka untuk menerima dan mengundi saya.

“Mendiang Eddie merupakan seorang yang amat disenangi dan banyak berjasa kepada penduduk di sini. Tetapi saya tidak boleh beranggapan bahawa para pengundi akan mempunyai perasaan yang sama terhadap saya.

“Saya menerima ini sebagai satu cabaran , jadi saya harus bekerja keras bagi memenangi keyakinan mereka,” kata wanita berusia 32 tahun itu kepada Bernama dalam satu temuramah disiarkan semalam.

Wong terikat dalam pertarungan satu lawan satu dengan Tan Chee Teong dari MCA dalam PRK itu yang tercetus ekoran kematian Ng dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya telah menentapkan tempoh selama 21 hari untuk berkempan dan tarikh pengundian pada 8 Sept.

Wong bersetuju bahawa tempuh kempen yang panjang akan memberi kelebihan kerana ia akan memberi beliau waktu serta peluang yang cukup bagi memperkenalkan dirinya dan merapatkan hubungan dengan seramai mungkin penduduk setempat.

Berasal dari Ipoh Perak, anak kedua daripada tiga adik beradik dalam keluarga sederhana itu diasuh dengan kepercayaan tidak mencabar pihak berkuasa. Namun kebangkitan politiknya lahir ketika beliau menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam tahun 2007.

Setelah lulus dalam Kesusasteraan Cina dalam tahun 2009, beliau memulakan blog bertajuk ‘Tien Fei’ dan aktif menulis tentang isu terkini yang menjejaskan negara.

Wong juga menjadi guru tuisyen sambil mengasah bakatnya dalam pembikinan filem.

Antara karya beliau termasuk “Jatuh” sebuah dokumentari mengenai Teoh Beng Hock, bekas pembantu politik kepada Adun Seri Kembangan Ean Hian Wah, yang mati terjatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam ketika sedang di soal siasat pada 2009.

Dokumentari itu menjadi titik permulaan penglibatannya dalam poiltik, apabila beliau ditawarkan jawatan sebagai setiausaha politik oleh Ean Yong selepas PRU ke-13.

“Saya menerima tawaran itu sungguhpun saya belum menyertai DAP kerana saya rasa masanya telah tiba bagi saya untuk bersemuka dengan rakyat dan bergaul dengan mereka daripada bersembunyi di belakang skrin komputer bagi menyuarakan kebimbangan saya.

“Peluang ini juga membolehkan saya mengenali wawasan sesebuah parti politik. Saya mengambil masa setahun membuat penilaian sendiri sebelum mengambil keputusan menyertai DAP dalam tahun 2014, kata Timbalan Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang itu.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya selama dua tahun sebelum meletakkan jawatan minggu lepas bagi bertanding dalam PRK Balakong.

Wong percaya khidmatnya sebagai anggota majlis perbandaran itu memberi kelebihan kepadanya sambil menambah dengan memahami sistem pentadbiran kerajaan, pengetahuan itu akan membolehkannya berkhidmat secara lebih efektif sebagai seorang ADUN sekiranya terpilih pada 8 Sept nanti.

Beliau berikrar akan melaksanakan tugas dan aspirasi yang ditinggalkan mendiang Ng seperti menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh orang ramai di kawasan ini.

Beliau juga akan memperkenalkan pelan baharu bagi membangunkan Balakong agar menjadi kawasan perbandaran yang penuh bersemangat dengan mengambil kita potensi dari segi kekayaan budaya dan warisan .

“Balakong bukan sekadar kawasan industri ringan. Saya harap lebih banyak aktiviti dapat dilakukan di sini bagi mempromosikan budaya dan kesenian dengan melibatkan secara konstruktif golongan muda dan tua bagi kita membina masyarakat yang sihat, “ tambah beliau.