Malaysia Dateline

WPP sediakan RM170 juta untuk umat Islam Pulau Pinang pada 2021

Bagi membela nasib umat Islam dan pembangunan di seluruh Pulau Pinang, Wakaf Pulau Pinang (WPP) memperuntukkan kos projek bernilai RM170. 31 juta bagi tahun 2021 yang akan datang.

Pengurus Besarnya, Rosidi Hussain ketika ditemui berkata, antara projek pembangunan yang dilaksanakan adalah projek perumahan yang dibangunkan di kawasan Pulau dan juga Seberang Perai.

Katanya lagi hasil sumbangan wakaf yang diterima dimanfaatkan untuk pembangunan umat Islam merangkumi perumahan, pendidikan, kesihatan, pertanian, pembinaan serta pembesaran masjid dan surau serta lain-lain sektor.

“WPP turut memberi fokus bagi pembangunan umat Islam Pulau Pinang merangkumi ekonomi, pendidikan, pelaburan dan sektor kesihatan.

“Antara hasil sumbangan wakaf yang diterima adalah wakaf Masjid Kapitan Keling berjumlah RM346, 000 dan wakaf Masjid Melayu, Lebuh Acheh berjumlah RM64, 000 serta wakaf Masjid Alimshah Waley, Lebuh Chulia berjumlah RM98, 000.

“Selain itu sumbangan wakaf lain adalah wakaf Khan Mohamed, Jalan Perak bernilai sebanyak RM16, 000 serta wakaf Setee Aishah,Seberang Jaya sebanyak RM80, 000.

“Manakala projek perumahan melibatkan 400 unit rumah kos sederhana diwujudkan di Bayan Lepas, Kuala Mengkuang sebanyak 137 unit merangkumi pelbagai jenis kediaman dan rumah kedai serta juga perumahan asnaf di Dhoby Ghat,” ujar beliau.

Rosidi juga berkata, projek perumahan yang kini telah siap untuk diduduki termasuklah pembangunan perumahan di Telok Air Tawar bersebelahan Masjid Daerah Seberang Perai Utara serta pembangunan perumahan yang akan dilaksanakan di Bagan Lalang, Mak Mandin, Butterworth tidak lama lagi.

Tambah beliau, WPP akan terus berusaha bagi memajukan ekonomi umat Islam di Pulau Pinang sebagai sebuah agensi penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang melalui pelbagai sektor menjelang 2021 yang akan datang.

caption gambar :Rosidi Hussain, Pengurus Besar WPP.