WSJ jadi alat ‘pelakon politik’ untuk musnahkan PM, kata Putrajaya

WSJ jadi alat ‘pelakon politik’ untuk musnahkan PM, kata Putrajaya

Kerajaan Malaysia membidas Wall Street Journal kerana terus cuba mengaitkan dana yang didepositkan ke akaun Perdana Menteri dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun selepas “pelbagai pihak berkuasa sah” telah mengesahkan bahawa wang itu adalah dari Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan, seorang jurucakap kerajaan berkata: “Seperti yang dinyatakan oleh Peguam Negara Malaysia, dana yang diterima adalah sumbangan dari Arab Saudi.

“Ini telah disahkan oleh pelbagai pihak berkuasa sah yang menjalankan siasatan menyeluruh dan lengkap. Ini termasuklah pihak berkuasa Malaysia pergi ke Arab Saudi untuk memeriksa dokumentasi dan menemu bual anggota keluarga diraja dan pegawai-pegawai yang mentadbir sumbangan itu.

“Menteri Luar Arab Saudi juga telah mengesahkan bahawa dana itu adalah dari Arab Saudi,” katanya semalam.

Jurucakap itu berkata demikian bagi menjawab artikel WSJ yang mendakwa bahawa lebih daripada US$1 bilion telah didepositkan ke dalam akaun Perdana Menteri dan kebanyakannya adalah daripada 1MDB.

Jurucakap kerajaan itu berkata ia telah memberitahu bahawa Wall Street Journal dan syarikat sekutunya terus melakukan serangan dan cuba mengaitkan 1MDB dengan sumbangan itu.

“Mereka terus mengulangi dakwaan lama yang sama tanpa memberikan bukti; mereka terus bergantung semata-mata kepada sumber-sumber tanpa nama yang mungkin tidak wujud; dan mereka terus memilih untuk mengugurkan fakta utama yang telah pun diketahui. Ini tidak beretika dan tidak diterima dalam amalan kewartawanan,” katanya.

“Wall Street Journal telah menjadi alat pelakon politik tertentu yang berusaha memusnahkan Perdana Menteri dan Malaysia demi kepentingan peribadi. Tetapi kempen anti-Najib yang bermotifkan politik ini, yang menggunakan media Barat, telah pun gagal.”

Jurucakap itu berkata:”Perdana Menteri memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang penting untuk Malaysia, terutamanya memerangi ancaman keganasan, dan mengukuhkan ekonomi dalam menghadapi cabaran-cabaran global.

“Angka pertumbuhan Malaysia baru-baru ini, yang melangkaui jangkaan, mengesahkan bahawa rancangan ekonomi Perdana Menteri memang berhasil.”

TAGS