WUF9:  Pegawai kerajaan, polis tidak sambut diplomat Israel, asing

WUF9: Pegawai kerajaan, polis tidak sambut diplomat Israel, asing

Kehadiran diplomat Israel ke penganjuran Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) di Kuala Lumpur baru-baru ini, tidak disambut oleh mana-mana pegawai kerajaan termasuklah Pegawai daripada Kementerian Luar Negeri (MOFA).

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata,  Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memberi sebarang kawalan keselamatan terhadap perwakilan  sepanjang kehadiran mereka di program tersebut.

“Urusan kehadiran perwakilan itu kita serahkan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat).

“Ini kerana kita tidak mengalu-alukan perwakilan tersebut ke negara ini namun menerima kehadirannya di atas jemputan yang dikeluarkan PBB melalui UN-Habitat,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan  dari Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Marican  (Kepala Batas-BN)  berkata, Malaysia telah menandatangani perjanjian tuan rumah pada 2017 bagi penganjuran WUF9 yang menjadi syarat wajib bagi mana-mana persidangan PBB di bawah Artikel 3 yang diadakan di luar kawasan ibu pejabat pertubuhan itu.

“Forum berkenaan haruslah terbuka kepada semua negara-negara anggota PBB serta agensi-agensi khusus yang berkenaan.

“Tidak timbul kerajaan Malaysia menjalinkan hubungan secara senyap-senyap dengan Israel melalui penganjuran WUF9,” katanya.

Dakwaan pembangkang sebelum ini WUF9 tidak wajar dianjurkan di negara ini kononnya kerajaan menjalin hubungan diplomatik dfengan Israel yang bertentangan dengan pendirian Malaysia selama ini terhadap isu Palestin-Israel.

Malaysia katanya masih konsisten terhadap isu yang membelenggu rakyat Palestin.

“Malaysia tidak akan berkompromi selagi tiada penyelesaian konflik Israel-Palestin seperti mana yang diputuskan melalui pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB.

“Kehadiran perwakilan Israel pada WUF9 ini tidak wajar dilihat sebagai satu usaha kononnya kerajaan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel kerana pendirian Malaysia amat jelas terhadap hubungan dengan Israel,” katanya.

Katany penganjuran program ini telah memberi impak positif secara tidaklansung kepada ekonomi melalui pendapatan industri pelancongan negara yang disertai 165 negara itu melalui WUF9 ayang diadakan di Malaysia pada 7 hingga 13 Februari lalu.

CATEGORIES
TAGS